Kamis, 03 Oktober 2013

Adiwati: Bab 3



BAB 3: POTRET KENANGAN

Itulah yang membakar semangat dan menyemarakkan keazamannya sehingga menjelagakan impian yang melekat dan kejap di lelangit fikirannya. Diletakkan di atas meja belajarnya – setiap kali berada di situ, dia pasti merenungnya. Tidak mungkin ingatannya akan berpisah dengan kedua-duanya.
            Fikirannya agak lapang sekarang. Dalam perjumpaan sidang redaksi majalah sekolah tengah hari tadi, Cikgu Latifah memberikan jaminan bahawa dia tidak akan dibiarkan bersendirian menguruskan penerbitan majalah secara dwibulanan itu. Malah, Cikgu Latifah akan membantu Adiwati memilih artikel-artikel yang sesuai untuk diterbitkan.
            Potret berukuran 4R dan dibingkaikan itu diletakkan di atas meja itu kembali selepas ditatapnya. Jika diturutkan kehendak hatinya, dia sebenarnya tidak tega untuk meninggalkan ayahnya bersendirian di kampung – membiarkan ayahnya menempuh dan melalui semua kesulitan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dan, yang paling penting bertungkus lumus menyediakan ongkos buat biaya pelajarannya. Itu bukan suatu pengorbanan yang kecil.
            Mujur ada Ucin. Maka, Ucinlah yang diharapkan untuk menjenguk-jenguk ayahnya sentiasa. Sampai bila dia akan terus mengharapkan Ucin sesuatu yang tiada kepastiannya. Pada pandangan matanya, Ucin seorang remaja yang cukup istimewa. Walaupun tidak menyambung persekolahannya hingga ke sekolah menengah, Ucin sangat mahir akan selok-belok hidup di hutan; Ucin mewarisi kepandaian ayahnya, Tok Batin Bungah. Dia benar-benar terhutang budi kepada Ucin.
            Tiada aktiviti latihan sukan pada petang Khamis kerana sebelum waktu maghrib, semua pelajar yang tinggal di asrama diwajibkan menyertai aktiviti bacaan Yasin dan solat hajat pada setiap malam Jumaat. Adiwati memanfaatkan masa yang sengang itu di Bilik Kelab Majalah Sekolah sebelum membersihkan diri dan bersiap-siap untuk ke surau sekolah.
            Sudah ada dua orang rakannya yang menunggu di situ; Huey Shyan, jurugambar majalah dan Shukri, wartawan sukan majalah sekolah.
            “Lama tunggu?” tanya Adiwati lalu meletakkan fail yang dibawanya di atas meja.
            “Kami baharu saja sampai, lebih kurang lima minit yang lalu,” jawab Huey Shyan, anak seorang pengusaha pasar mini di bandar Mersing – mempunyai hobi mengumpul pelbagai jenis kamera.
            “Banyak gambar yang menarik?” tanya Adiwati. Dia tahu, Huey Shyan mempunyai kepakaran untuk menangkap gambar dari pelbagai sudut. Tidak hairanlah, hasil kerja Huey Shyan jarang mengecewakan.
            Huey Shyan mengangguk. “Saya baharu sahaja pindahkan gambar-gambar itu daripada kad memori ke komputer riba ni. Kamu pilihlah yang mana sesuai untuk diterbitkan.”
            “Baguslah kalau begitu, Huey Shyan. Shukri, apakah isu sukan untuk terbitan pertama majalah kita pada tahun ni?” Adiwati mengalihkan pertanyaannya kepada Shukri pula.
            “Saya fikir, eloklah kalau kita siarkan artikel berkaitan temasya sukan yang akan diadakan di sekolah kita tidak lama lagi. Saya sudah menyiapkan drafnya. Dalam masa dua atau tiga hari lagi artikel itu akan siap sepenuhnya. Hanya saya mohon kerjasama daripada Huey Shyan agar dapat menangkap beberapa keping gambar aktiviti latihan sukan,” jelas Shukri yang juga merupakan ketua pengawas di sekolah itu.
            Mereka terus berbual-bual sementara menunggu kedatangan beberapa orang lagi ahli jawatankuasa yang telah diberikan tanggungjawab masing-masing dalam proses penerbitan majalah itu. Di samping itu, mereka turut berbincang untuk memilih gambar-gambar yang paling sesuai untuk diterbitkan.
            “Kamu bagaimana, Adiwati? Apakah isu pertama yang bakal kamu tulis dalam ruangan Suara Editor nanti?” tanya Shukri.
            Adiwati diam seketika; berhenti daripada memilih gambar-gambar yang terpapar pada skrin komputer riba milik Huey Shyan.  “Saya fikir lebih elok untuk kali yang pertama ni saya lebih berfokus kepada isu dalaman sahaja.”
            “Contohnya?” soal Shukri inginkan maklumat yang lebih lanjut.
            “Memupuk minta terhadap sesuatu kerjaya sejak di bangku sekolah lagi. Saya fikir, sekolah adalah tempat yang paling sesuai untuk kita memulakan minat terhadap sesuatu lapangan atau bidang yang bakal kita ceburi kelak. Bagaimana?” Adiwati cuba mendapatkan respons daripada Shukri Huey  Shyan.
            Shukri mengetapkan bibirnya. “Saya fikir itu suatu isu yang menarik sebab sekarang ini ramai dalam kalangan pelajar seolah-olah hadir ke sekolah tanpa ada apa-apa matlamat dan tujuan,” ujar Shukri.
            “Saya bersetuju,” sampuk Huey Shyan.  “Oleh sebab tidak ada matlamat dan tujuan itulah maka ramai pelajar yang terjebak dalam gejala yang tidak sihat,” tambahnya lagi.
            “Saya akan berusaha untuk mendapatkan statistik kesalahan disiplin yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah ini, terutama yang melibatkan kes-kes berat untuk beberapa tahun ini,” kata Adiwati. Dia memang bercadang untuk menemui Cikgu Nasaruddin yang menyimpan semua data dan rekod dalam masa yang terdekat ini.
            “Baguslah kalau macam tu, Wati. Sekurang-kurangnya tulisan kamu itu disokong oleh fakta dan bukti,” sokongHuey Shyan.
            Ketika mereka sedang rancang berbual-bual, datang Ravindran dan Shima. Mereka memohon maaf kerana tiba agak lewat disebabkan bas awam yang mereka naiki mengalami kerosakan enjin. Adiwati segera mengerti. Kebanyakan bas awam yang masih bergerak di jalan raya di daerah ini sudah tua dan kerap pula tersadai di tepi jalan. Dia sendiri pernah mengalaminya ketika keluar ke bandar untuk membeli barang-barang keperluannya beberapa bulan yang lalu.
            Banyak perkara yang perlu dibincangkan pada petang itu sebelum artikel-artikel yang bakal dimuatkan dalam majalah sekolah itu nanti diserahkan kepada Cikgu Latifah untuk editan yang terakhir. Ravindran, pelajar tingkatan empat yang diamanahkan untuk membuat grafik dan reka letak majalah itu ternyata yang paling awal menyiapkan tugasannya.
            “Kamu bagaimana, Shima? Banyak karya pelajar yang kamu terima?” soal Adiwati.
            “Manuskrip cerpen ada dua belas, dan puisi ada dua puluh lapan,” jawab Shima sambil menyemak buku catatannya.
            “Banyak juga. Jika begitu, nanti kamu berikan manuskrip itu kepada saya untuk saya baca dan pilih karya-karya yang sesuai untuk disiarkan,” pinta Adiwati. “Ruangan karya pelajar agak terhad. Kita tidak boleh menambah bilangan muka surat untuk menjimatkan kos percetakan.”
            Dalam penerbitan majalah sekolah itu, Adiwati sedar sebagai editor dia perlu memilih artikel-artikel dan karya-karya yang bermutu untuk disiarkan. Tahun lalu, dia banyak membantu Farid melakukan tugas-tugas itu kerada dia telah dilantik sebagai penolong ketua editor. Kini, dia yang menduduki kerusi itu. Hashimah, pelajar tingkatan empat aliran sastera telah dilantik oleh Cikgu Latifah untuk menjadi penolongnya. Setakat ini, Adiwati amat berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh rakan-rakannya.
            Mereka bersurai sebelum jam 6.00 petang. Ravindran, Shukri dan Shima perlu pulang lebih awal untuk mengelakkan ketinggalan bas awam. Huey Shyan pula akan dijemput oleh ibunya, Puan Goh. Sementara menunggu ibunya tiba, Huey Shyan mengajak Adiwati ke kafetaria yang masih dibuka untuk kemudahan pelajar-pelajar yang tinggal di asrama.
            “Saya bertuah dapat bekerjasama dengan kamu, Wati. Saya tidak menyangka Cikgu Latifah masih  memberikan tanggungjawab sebagai jurugambar ini kepada saya,” kata Huey Shyan. 
            Adiwati ketawa. “Apalah istimewanya saya ni, Huey Shyan? Saya juga seperti kamu, pelajar biasa di sekolah ini.”
            “Biasa? Biasa yang luar biasa. Tidak semua orang mempunyai kekuatan dan semangat seperti kamu. Ya, walaupun saya mungkin tidak begitu rapat dengan kamu, tetapi cerita-cerita yang saya dengar membuatkan saya begitu teringin untuk mengenali kamu,” ujar Huey Shyan sambil mengacau air teh “O” yang dipesannya.
            Adiwati menyedut sirap limau ais yang dipesannya. Tekaknya berasa segar. Kemudian, dia mengacau-ngacau penyedut minumannya di dalam gelas itu.
            “Positif? Atau negatif?”
            Huey Shyan tersenyum – terserlah lesung pipit di pipinya. “Manusia, rambut sama hitam, hati lain-lain. Jika hatinya baik dan bersih, tentulah kata-kata yang baik juga akan keluar dari mulutnya. Jika hatinya penuh dendam dan hitam, tentulah perkataan yang buruk-buruk sahaja terbit dari mulutnya.”
            Adiwati menghela nafas; dalam dan panjang. Dia menyedut minumannya lagi. “Benar kata kamu, Huey Shyan. Inilah cabaran yang terpaksa saya hadapi. Selama mana saya dapat menghadapinya, saya tidak pasti. Sekuat mana pun tebing, kalau hari-hari dihakis ombak pasti akan runtuh juga.”
            “Saya percaya kamu akan dapat menghadapinya, Wati,” kata Huey Shyan untuk meniupkan keyakinan Adiwati. “Kamu punya ramai kawan yang menyayangi kamu. Yang memusuhi kamu pula cuma seorang atau dua orang sahaja. Pada akhirnya, saya percaya orang-orang yang memusuhi kamu akan menjadi sahabat kamu. Percayalah,” tambah Huey Shyan.
            “Mudah-mudahan, Huey Shyan. Terima kasih kerana menyebelahi saya,” balas Adiwati.
            “Kita ada akal untuk membuat pertimbangan, kan? Kita mesti bijak untuk mengenal pasti sama ada orang itu kawan ataupun lawan. Kalau kamu ada apa-apa masalah, jangan segan-segan beritahu saya,” kata Huey Shyan.
            Entah mengapa Adiwati berasakan pada petang itu hatinya berasa lapang dan lega. Sebaik-baik sahaja Puan Goh tiba, Adiwati menghantar Huey Shyan hingga ke kereta. Malah, dia sempat bertegur sapa dengan Puan Goh.

****

Setiap kali menatap potret itu, pasti dia teringat akan kenangan lama bersama-sama ibunya; cerita-cerita ayahnya tentang kehebatan ibunya. Semua itu kekal dan masih segar dalam ingatannya. Di luar, melalui jendela yang terkuak luas Adiwati melihat purnama yang mula merangkak dada langit. Purnama, walaupun tidak mengeluarkan cahaya sendiri tetapi dengan ihsan matahari maka purnama seolah-olah kelihatan bersinar dan bercahaya.
            Kenangan silam segera menjengah layar ingatannya.
            “Hari ini, hari pertama Wati ke sekolah. Jangan nakal-nakal dan ikut cakap cikgu. Ibu tak mahu Wati buat masalah di sekolah,” pesan ibunya sambil menocang rambutnya yang lembut dan halus. Tocang itu seperti ekor kuda, dan berbuai-buai setiap kali dia berjalan.
            Seawal jam 6.00 pagi, ibunya sudah mengejutkannya. Ayahnya pula menyediakan air suam untuk dia mandi sebelum pergi ke surau yang berhampiran rumahnya untuk bersolat subuh. Petang semalam, dia melihat ibunya menggosok beberapa pasang pakaian sekolahnya dengan menggunakan seterika arang. Mulut seterika itu mengeluarkan asap yang berkepul-kepul seperti mulut naga – memenuhi ruang rumahnya yang berdindingkan bertam itu.
            “Kalau cikgu tanya, Wati jawab. Kalau cikgu suruh buat latihan, Wati siapkan. Faham?” tegas ibunya lagi.
            “Faham, ibu. Wati nak belajar pandai-pandai, kalau boleh pandai macam ibu,” jawabnya. Dan, pada ketika itu dia dapat merasai belaian dan kehangatan pelukan seorang ibu; pelukan yang kejap dan lama.
            “Lebih pandai daripada ibu,” jawab ibunya yang masih belum mahu melepaskan pelukannya.
            Pagi itu, dia ke sekolah diiringi oleh kedua-dua ibu dan bapanya. Sekolah itu terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya; mengambil masa hampir setengah jam berjalan kaki. Mereka terpaksa menggunakan denai untuk sampai ke sekolah itu. Jika hari hujan, denai itu akan becak dan berlumpur. Ayahnya belum mempunyai wang yang cukup untuk membeli motosikal. Semasa melalui denai yang becak dan berlumpur itu, ayahnya akan mendukungnya kerana tidak mahu kasut baharu yang dipakainya kotor terpalit lumpur.
            Ibu dan ayahnya menunggunya sehingga dia masuk ke dalam kelas. Bangunan sekolah itu hanya diperbuat daripada papan dan menggunakan dawai yang berjaring sebagai tingkapnya. Mujurlah ada meja dan kerusi walaupun telah agak usang. Murid-murid di sekolah itu datangnya dari beberapa buah kampung orang asli yang berdekatan. Cikgunya pula ada enam orang sahaja termasuk guru besar.
            Dan, beberapa hari berikutnya kelakuan ibunya tetap sama; menyampaikan pesanan dan nasihat agar dia belajar rajin-rajin dan sentiasa menghormati guru. Selepas mempersiap dirinya, ibunya akan mendakapnya dengan erat sebelum dia dihantar ke sekolah oleh ayahnya.
            “Kamu tahu bagaimana ayah mengenali ibu, Wati?” soal ayahnya pada suatu petang ketika dia sedang duduk di atas tunggul kayu di hadapan rumahnya. Ayahnya pula sedang meraut buluh yang telah dibelah-belah supaya licin dan kemas. Sebelum dibelah-belah, buluh itu dijemur di laman rumah sehingga warnanya bertukar menjadi kekuning-kuningan.
            “Tentu ibu seorang yang istimewakan, ayah?” balas Adiwati. Tangannya menongkat ke dagu. Dia terus memerhati jari-jemari ayahnya yang lincah meraut buluh-buluh itu.
            Ayahnya tersenyum – merenung wajah Adiwati. “Siapa sangka orang seperti ayah yang tiada pelajaran ini, malah dianggap bodoh oleh sesetengah orang dapat mengahwini ibu Wati. Kalau diukur mengikut paras rupa, kata orang seperti langit dengan bumi,” ujar ayahnya berseloroh. “Tetapi, itulah hakikatnya. Hubungan kasih sayang sesama manusia tidak pernah membeza-bezakan semua itu; paras rupa, warna kulit, darjat ataupun keturunan.”
            “Ayah terlalu merendah diri. Tentu ada sesuatu yang istimewa pada ayah sehingga membuatkan ibu memilih ayah sebagai teman hidupnya.”
            Ayahnya ketawa. “Bukan merendah diri. Ada kalanya kita perlu menerima hakikat. Ibu kamu seharusnya mendapat lelaki yang lebih baik untuk dijadikan pasangan hidupnya.”
            “Ayah berasa bersalah kerana mengahwini ibu?” soal Adiwati.
            Ayahnya diam – berhenti meraut buluh-buluh itu lalu membuka topi kainnya yang berwarna hijau; kumal dan lusuh. Dengan topi itu ayahnya mengipas-ngipaskan badannya.
            “Tidak. Sebaliknya ayah berasa puas kerana dapat membahagiakan ibu Wati walaupun pada akhirnya....” Ayahnya tidak meneruskan kata-kata itu. Adiwati tahu, ada sebak yang mula bertakung di dada ayahnya.
            “Maafkan Wati ayah kalau membuatkan ayah bersedih dan terkenang akan ibu,” ucap Wati. Jika ayahnya tiba-tiba sahaja merindui ibunya, dia apatah lagi. Itulah wanita yang mengandungkannya selama lebih sembilan bulan, melahirkannya dan membesarkannya dengan susu badannya.
            “Tidak mengapa, Wati. Wati mesti tahu. Sebagai anak, Wati mesti tahu siapa ibu Wati yang sebenarnya,” balas ayahnya sambil menyeka manik-manik jernih yang turun perlahan-lahan menuruni cerun pipinya yang mulai berkedut dengan menggunakan hujung lengan bajunya. “Ayuh masuk ke rumah. Ayah ingin tunjukkan kamu sesuatu. Sesuatu yang telah lama ayah sembunyikan daripada pengetahuan Wati.”
            Adiwati membantu ayahnya mengenakan tongkat pada ketiaknya. Kemudian, dia memimpin ayahnya menaiki tangga rumah yang diperbuat daripada kayu bulat dengan berhati-hati.
            Sebaik sahaja telah berada di perut rumah, ayahnya menyuruh Wati menunggu di ruang tamu sahaja. Ayahnya langsung ke bilik. Tidak lama kemudian, ayahnya keluar dari bilik itu sambil membawa satu keratan surat khabar yang disimpan dalam plastik jernih.
            Adiwati menyambutnya dengan penuh rasa teruja apabila ayahnya menghulurkan keratan akhbar yang kelihatan masih elok itu. Sebaik sahaja membaca tajuk berita itu, dia terpempan seketika.
            Pemuda Orang Asli Menyelamatkan Wartawan Daripada Dibaham Harimau”.
            Adiwati membaca berita itu dengan penuh debar dan minat.
“MERSING, 23 Julai  - Seorang pemuda Asli telah bertindak berani untuk menyelamatkan seorang wartawan wanita sebuah tabloid berbahasa Cina daripada dibaham oleh seekor harimau. Kejadian itu berlaku di Hutan Simpan Endau – Rompin kira-kira pada pukul 9.45 pagi. Pada ketika itu, Mary Lim, 23 tahun, sedang mendapatkan maklumat tentang kegiatan pembalakan haram yang dilakukan di kawasan hutan simpan  itu.
            Mary Lim yang juga merupakan aktivis alam sekitar dan hidupan liar berkata, pada ketika kejadian itu berlaku, beliau sedang berusaha menangkap beberapa keping gambar tentang kegiatan itu. Tiba-tiba, seekor harimau menerkamnya dari arah sisi.
            “Saya hanya teringat akan mati dan menjerit sekuat-kuat hati untuk meminta tolong. Saya terpaksa memukul kepala harimau yang buas itu menggunakan kamera beberapa kali untuk mengelakkannya daripada menggigit tengkuk saya,” ujar Mary Lim ketika ditemui di Hospital Mersing.
            Jeritannya itu telah didengar oleh Asan bin Tan, 20 tahun, yang kebetulan berada di kawasan berhampiran serangan harimau itu untuk mencari rotan manau. Semasa ditemu ramah, Asan berkata, beliau terpaksa bertindak nekad untuk menyelamatkan wartawan itu dengan memaut leher harimau seberat kira-kira seratus kilogram itu dari arah belakang dengan menggunakan lengannya. Selepas melepaskan wartawan itu, harimau itu telah menyerangnya pula dan berlaku pergelutan. Mujurlah dia sempat menarik parang pendek yang tersisip di pinggangnya dan menetak harimau beberapa kali di badan dan kepalanya.
            Ekoran kejadian itu, Asan yang turut dirawat di Hospital Mersing terpaksa menerima lebih daripada dua ratus jahitan akibat serangan harimau itu. Pihak polis daerah Mersing yang dihubungi turut mengesahkan kejadian itu. Pihak polis akan bekerjasama dengan Perhilitan untuk menjalankan siasatan berkaitan kejadian yang pertama kali berlaku di hutan itu dan merancang usaha untuk mengesan harimau berkenaan.
            “Ternyata cintanya akan tempat ini tidak pernah padam, malah bertambah utuh,” ujar ayahnya yang duduk bersandar pada dinding berhampiran pintu. “Setelah lebih sebulan mendapatkan rawatan di sebuah hospital pakar di Kuala Lumpur, ibu kamu datang ke sini kembali, Wati. Menyambung tugasnya.”
            Dalam diam, Adiwati semakin mengagumi ibunya. Siapa menyangka, seorang wanita yang dilahirkan dan dibesarkan di bandar serta mendapat pendidikan di luar negara akhirnya memilih untuk meneruskan kehidupannya di hutan; jauh daripada kenikmatan hidup di kota.
            “Ibu kamu seorang wanita yang tabah. Dia sanggup mengorbankan segala kesenangannya semata-mata untuk memperjuangkan nasib kami di sini. Malah, dialah salah seorang aktivis yang lantang bersuara untuk membongkar kegiatan pembalakan dan pemburuan binatang secara haram,” tokok ayahnya lagi.
            “Sejak itu ayah rapat dengan ibu?” tebak Adiwati.
            “Ayah sering menemaninya ke hutan untuk menjaga keselamatannya. Hubungan kami menjadi bertambah akrab. Dan, kami mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga untuk mengelakkan fitnah dan salah sangka masyarakat di sini,” terang ayahnya.
            “Ibu memeluk agama Islam?”
            Ayahnya angguk. “Ketika menetap di sinilah ibu kamu memeluk agama Islam, Wati. Kebetulan pada ketika itu Bahagian Hal Ehwal Islam Negeri sedang melaksanakan program pengislaman orang-orang Asli di sini. Alhamdulillah, sebahagian besar orang Asli di sini telah memeluk agama Islam termasuk Tok Batin. Seorang ustaz lulusan sebuah universiti di Jordan telah ditempatkan di sini untuk membimbing kami,” jelas ayahnya panjang.
            “Ustaz Khairun Nizam?” Adiwati masih mengingati wajah ustaz muda itu. Orangnya lemah lembut dan mudah tersenyum; wajahnya bersih dan jernih. Suaranya begitu lunak semasa mengaji atau melaungkan azan. Ramai kanak-kanak di situ yang menyukai Ustaz Khairun Nizam.
            “Selepas mendapat pekerjaan tetap sebagai guru Pendidikan Islam di sebuah sekolah menengah di bandar Mersing, ustaz terpaksa meninggalkan kami. Pun begitu, kami di sini bersyukur kerana Ustaz Khairun masih meluangkan masa untuk berdakwah di sini pada setiap hujung minggu sehinggalah beliau melanjutkan pelajaran di Mesir untuk membuat PhD,” tambah ayahnya lagi.
            “Kenapa ayah dan ibu tidak tinggal di bandar? Bukahkah itu lebih baik?” tanya Adiwati.
            Kedengaran keluhan berat yang lahir dari mulut ayahnya. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang tersekat di tenggoroknya. Ayahnya bungkam – agak lama. Sepi.
            “Ayah?” panggil Adiwati lembut. “Kenapa, ayah?”
            “Tak ada apa-apa, Wati,” jawab ayahnya; sedikit  tersentak. “Suatu hari nanti, Wati akan memahami semuanya.  Percayalah.”
            Adiwati membasuh mukanya. Kenangan dan cerita-cerita tentang ibunya terus merayap di benaknya. Sejak pulang dari surau tadi, dia lebih banyak menghabiskan masanya berbaring di ranjang. Syaza pula masih belum pulang dari bilik air – mencuci pakaian yang terletak di blok asrama sebelah. Dia pula bercadang untuk mencuci semua pakaian kotornya yang diletakkan di dalam bakul pakaian pada pagi esok; selepas subuh.
            Malam ini dia perlu membaca dan menilai beberapa buah karya pelajar dan seterusnya memilih karya yang sesuai untuk disiarkan. Semua karya dan artikel yang terpilih untuk disiarkan akan diserahkan kepada Cikgu Latifah selewat-lewatnya pada hari Khamis depan untuk proses editan terakhir. Cikgu Latifah ialah ketua editor majalah Suara Generasi yang juga merupakan ketua bidang bahasa di sekolah itu. Walaupun mempunyai sarjana lanjutan dalam Pengajian Bahasa Melayu, beliau fasih berbahasa Inggeris dan Mandarin.
            Adiwati menyedari tugasnya kini semakin rencam. Segala-galanya perlu ditangani dengan cekap dan teratur; tidak mahu segala-galanya menjadi benang yang lurus pada pangkalnya, tetapi kusut dan bergumpal pada penghujungnya. Biarlah benang itu lurus dan mudah dilurut dari hujung hingga pangkalnya.
            Esok pagi, usai sahaja menyidai pakaiannya dia akan keluar ke bandar untuk pergi ke bank. Permohonannya untuk keluar asrama bersama-sama Syaza telah diluluskan. Di samping itu, dia perlu membeli sedikit barang-barang keperluan hariannya. Pada peringkat awalnya, Syaza bercadang untuk pulang ke kampungnya di Endau. Namun memandangkan banyak kerja sekolah yang perlu dituntaskan, maka dia menangguhkan hasratnya. Tahun ini mereka akan menduduki peperiksaan SPM. Untuk berjaya, mereka mesti sanggup berkorban. Ya, pergorbanan!

Tidak ada komentar: