BAB 2: DUGAAN DAN TAWARAN
Adiwati melontarkan pandangannya lewat jendela kamar
asrama yang didiaminya sejak tingkatan satu. Sengaja dia membuka tingkap cermin
itu luas-luas biar angin petang yang bertiup lolos dan bebas menyentuhi
wajahnya. Nyaman dan tenang. Dari kamarnya yang terletak di aras tiga asrama
puteri itu, dia melihat ke arah padang. Ramai pelajar yang sedang menjalani
latihan olahraga.
Adiwati
mengusap-usap buku lalinya yang membengkak. Dia cuba menggerak-gerakkan
kakinya, tetapi kesakitan seolah-olah telah menjarah buku lalinya – menjarem.
Perlahan-lahan dia cuba bangun. Tetapi kesakitan yang amat memaksanya duduk
kembali.
Syaza,
teman sebiliknya menyedari kesakitan yang sedang ditanggungnya. Novel remaja
yang sedang dibacanya bagi mengisi masa senggang dicampakkan ke atas katil. Dia
segera menghampiri Adiwati; duduk bersimpuh di sebelah Adiwati. Dia
membelek-belek buku lali.
“Kena ke
klinik ni,” usul Syaza sebaik sahaja memeriksa buku lali Adiwati. “Kalau
didemah belum tentu mahu surut,” tambah Syaza – menggunakan kemahiran yang
dipelajarinya sebagai ahli Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).
Ada riak
risau pada wajah Adiwati. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu menyusahkan Cikgu
Nabiha, warden asrama puteri. Mungkin ketika ini Cikgu Nabiha sedang
bersiap-siap untuk berjoging di padang. Dia amat pasti kerana boleh dikatakan
saban petang dia melihat Cikgu Nabiha berjoging di padang pada waktu seperti
ini.
“Kalau
kau takut, biar aku yang berjumpa dengan Cikgu Nabiha,” tegas Syaza dan terus
berlalu meninggalkan Adiwati yang memanggil namanya bertalu-talu. Adiwati
menyandarkan tubuhnya pada kerusi plastik yang didudukinya sambil melunjurkan
kakinya yang sakit – berdenyut-denyut seperti ada sesuatu yang sedang memamah
buku lalinya.
Kalau
tidak kerana kecuaianku pasti kejadian ini tidak berlaku, rungut Adiwati.
Gara-gara hendak cepat masuk ke kelas selepas loceng tamat waktu rehat menjerit
nyaring, dia tergelincir di bilik air. Sudahlah begitu, dahinya terhantuk pula
pada sinki ketika tangannya cuba berpaut di situ untuk mengelakkan
tubuhnya daripada jatuh tertiarap di
bilik air. Ada kesan lebam di dahinya.
Dia
melihat kasut sekolahnya yang terletak bersebelahan pintu bilik asramanya.
Sudah lebih setahun dia memakai kasut sekolah itu. Kainnya masih elok. Cuma
tapaknya sahaja yang telah haus. Sememangnya dia bercadang untuk membeli
sepasang kasut sekolah yang baharu tetapi dia belum berkesempatan untuk keluar
ke bandar, Rutinnya terlalu padat sejak menjejakkan kaki ke sekolah itu semula
dua minggu yang lalu.
Lima
belas minit kemudian, Syaza kembali.
“Lekas
tukar pakaian, Cikgu Nabiha tunggu kita di bawah,” arah Nazurah. Adiwati akur.
Dia mengenakan baju T berlengan panjang dan seluar sukan panjang berwarna
hitam. Syaza pula memakai baju kurung berwarna biru tua bercorak bunga-bunga.
Sepanjang
menuruni anak-anak tangga bangunan asrama itu, Syaza memapah Adiwati. Sesekali
mereka berhenti apabila Adiwati menjerit kesakitan.
“Bisanya,
Syaza. Tak sangka pula jadi teruk sampai macam ni,” keluh Adiwati. Kesakitan
itu benar-benar memamah buku lalinya.
“Sabarlah,
Wati,” pujuk Syaza. Insya-Allah, kaki kau ni akan pulih setelah dirawat oleh
doktor nanti.”
Persoalan
yang bukan-bukan mula bertakung di benak Adiwati. Bagaimanakah jika kecederaan
yang dialaminya itu lebih teruk daripada yang dijangkakan? Misalnya, tulangnya
retak atau ototnya koyak. Tentu kecederaan itu akan mengambil masa yang panjang
untuk pulih. Jika itu benar-benar terjadi, impiannya tentu berkubur! Noktah.
Sebaik
sahaja tiba di bawah, Cikgu Nabiha sedang menanti mereka sambil berdiri di
sebelah kereta sambil melemparkan senyuman. Guru Bahasa Melayu yang berusia
pertengahan 20-an itu kelihatan ayu mengenakan blaus berwarna merah jambu dan
dipadankan dengan seluar panjang labuh.
Cikgu
Nabiha segera membantu Syaza memapah Adiwati masuk ke dalam perut kereta Proton
Personanya – didudukkan Adiwati di tempat duduk belakang keretanya.
“Kenapa
baharu sekarang beritahu saya? Kalau awal sikit, tentu tidak melarat begini,”
ujar Cikgu Nabiha seraya menghidupkan enjin keretanya.
“Maafkan
saya, cikgu. Saya fikir cedera biasa sahaja. Tak sangka jadi melarat sampai
macam ni,” jawab Adiwati. “Tambahan pula, saya tidak mahu menyusahkan cikgu.”
Cikgu
Nabiha menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Sudah menjadi tanggungjawab saya
sebagai warden di sini, Adiwati. Tidak ada yang susahnya.”
Cikgu Nabiha memandu keretanya dengan tenang. Pada
waktu petang begitu, jalan raya menjadi agak sesak – masing-masing mahu sampai
ke rumah dengan segera setelah seharian bekerja. Sejak ada beberapa buah kilang
tekstil beroperasi di bandar itu dan ditambah pula dengan pembukaan sebuah
pusat pengajian tinggi awam di situ, suasana bandar itu telah berubah.
Kesesakan lalu lintas kerap kali berlaku.
Cikgu Nabiha memberhentikan keretanya di bahu bahu
jalan berdekatan dengan sebuah klinik swasta. Pada waktu begini, klinik
kesihatan kerajaan telah ditutup kecuali untuk kes-kes kecemasan sahaja. Mujur
masih ada beberapa tapak parkir kereta yang kosong. Jika tidak, sudah pasti
mereka akan berjalan kaki agak jauh untuk ke klinik itu.
Hanya ada dua orang pesakit sahaja yang sedang
menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan doktor di klinik itu. Urusan
pendaftaran dilakukan oleh Cikgu Nabiha. Adiwati tidak betah untuk berdiri dalam
keadaan kakinya yang bengkak begitu.
“Saya harap, kecederaan kamu akan sembuh dalam masa
yang singkat. Jika tidak, kamu terpaksa melupakan hasrat untuk menyertai
kejohanan olahraga sekolah yang akan berlangsung dua minggu lagi,” kata Cikgu
Nabiha – bersimpati dengan nasib yang menimpa Adiwati.
Adiwati melepaskan keluhan berat. Syaza yang duduk
di sebelah menepuk-nepuk bahunya. Dalam keadaan yang begitu, Adiwati memerlukan
sokongan moral yang kuat.
“Itulah yang saya fikirkan, cikgu. Jika itu ketentuan-Nya,
bermakna saya harus melepaskan gelaran olahragawati sekolah yang saya sandang
tahun lalu kepada orang lain. Dan, saya juga harus bersedia untuk menerima
hakikat bahawa saya tidak akan dapat bersaing dalam kejohanan peringkat daerah
dan negeri,” jelas Adiwati.
“Bersabarlah, Wati. Inilah yang dinamakan dugaan.
Kamu harus menerima takdir ini dengan hati yang terbuka.”
Adiwati angguk meskipun menyedari bahawa itulah
hakikat yang amat pahit untuk ditelan. Syaza yang duduk di sebelahnya terus
menguliti sebuah novel yang dipinjamnya daripada khutub khanah sekolah. Itulah
hobinya. Jarang amat kelihatan dia berenggang dengan buku atau novel. Sesekali
Syaza membetulkan kaca matanya. Dia tidak mahu mengganggu perbualan antara
Adiwati dan Cikgu Nabiha.
Seorang pembantu klinik memanggil nama Adiwati
supaya masuk ke dalam bilik rawatan. Cikgu Nabiha menemani Adiwati masuk ke
dalam bilik rawatan itu sementara Syaza menunggu sahaja di luar. Doktor lelaki
dalam lingkungan usia 40-an itu memeriksa buku lali Adiwati dengan teliti.
Kemudian, dia mencadangkan kepada Cikgu Nabiha agar Adiwati menjalani ujian
x-ray.
Adiwati sedikit tersentap. Dia memandang wajah
Cikgu Nabiha yang lembut. Guru muda itu tersenyum.
“Bagaimana? Kamu setuju?” tanya Cikgu Nabiha.
“Tapi, cikgu….” Ada persoalan lain yang menggeluti
fikirannya – kos rawatan yang perlu dijelaskannya.
“Soal bayaran? Tidak mengapa. Saya akan jelaskan
dahulu. Kemudian, saya akan membuat tuntutan kepada Bahagian Kebajikan dan Hal
Ehwal Pelajar. Kamu tidak perlu risau,” jelas Cikgu Nabiha.
Adiwati menarik nafas lega. “Terima kasih, cikgu.”
Dalam kalangan pelajar Asrama Puteri, Cikgu Nabiha
memang terkenal dengan sikap tegasnya. Dia tidak teragak-agak untuk mengenakan
tindakan yang tegas kepada pelajar-pelajar perempuan yang mengingkari peraturan
asrama. Tidak ramai pelajar yang berani mendekati Cikgu Nabiha. Tetapi, pada
petang itu Adiwati dapat melihat sisi yang berbeza tentang Cikgu Nabiha. Dia
tersenyum.
Selepas membuat imbasan x-ray, doktor itu
memberitahu bahawa tiada tulangnya yang retak. Hanya uratnya sahaja yang
terseliuh. Dan, doktor itu mencadangkan Adiwati agar mendapatkan rawatan
tradisional, iaitu berurut untuk membetulkan urat pada bahagian buku lalinya.
“Makan ubat yang saya beri mengikut jadual dan
sukatan yang ditetapkan. Insya-Allah, buku lali kamu akan pulih dalam masa yang
singkat. Tetapi buat masa ini, saya nasihatkan kamu agar tidak melakukan
aktiviti-aktiviti yang lasak,” pesan doktor itu.
“Baiklah, doktor. Terima kasih,” ucap Adiwati lalu
keluar dari bilik rawatan itu dengan fikiran yang lapang. Cikgu Nabiha
memapahnya dengan berhati-hati.
Mereka bertiga tidak terus pulang ke asrama. Cikgu
Nabiha menawarkan khidmatnya untuk menghantar Adiwati ke sebuah kedai yang
menjual pakaian sekolah. Walaupun pada peringkat awalnya Adiwati menolak,
tetapi akhirnya dia mengalah setelah Cikgu Nabiha kelihatan begitu
bersungguh-sungguh.
“Bukankah tapak kasut kamu telah haus? Elok beli
sepasang kasut sekolah yang baharu,” kata Cikgu Nabiha. Senyum.
Pantas Adiwati mencubit lengan Syaza yang duduk di
tempat duduk hadapan kereta. Dan, Syaza hanya ketawa melihat reaksi Adiwati.
Memang dia yang memberitahu Cikgu Nabiha akan hal yang sebenarnya – perihal
kasut sekolah Adiwati yang telah haus tapaknya.
Setelah mendapatkan saiz kasut daripada Adiwati,
Cikgu Nabiha keluar dari keretanya dan berjalan menuju ke kedai itu. Dari dalam
kereta, Adiwati melihat seorang pelayan kedai itu menyambut Cikgu Nabiha dengan
senyuman dan mereka kelihatan berbual-bual mesra; barangkali mereka saling
mengenali antara satu sama lain.
“Malulah aku, Syaza. Aku belum keluarkan duit lagi
dari bank.” Adiwati meluahkan perasaan yang membuku di hatinya. “Takkan aku nak
berhutang dengan Cikgu Nabiha?”
“Apa yang nak dimalukan? Sepatutnya kau bersyukur
kerana kita mempunyai cikgu yang baik hati seperti Cikgu Nabiha tu. Walaupun
cengih, tetapi amat mengambil berat akan kebajikan pelajar-pelajar di bawah
jagaannya,” kata Syaza seraya menutup novel yang dibacanya.
“Aku bercadang hendak membeli kasut itu sendiri
minggu depan,” jelas Adiwati.
Syaza tersengih. “Dengan kaki kau yang macam ni?
Dahlah, jangan difikirkan sangat. Kalau kau sudah keluarkan duit nanti,
bayarlah.”
Adiwati mengetapkan bibirnya lalu menghela nafas
dalam-dalam.
* * * *
Berita itu tersebar dengan cepat dan menjadi buah mulut
pula dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cahaya Baharu,
Mersing. Ada yang bersimpati akan malang yang menimpa Adiwati. Ada pula yang
berpendapat ketiadaan Adiwati dalam kejohanan olahraga sekolah nanti merupakan
peluang untuk mereka mencatatkan nama sebagai atlet terhebat – bakal bergelar
olahragawati yang baharu.
Sindiran
Adlina di kantin pada waktu rehat tadi benar-benar memedihkan hatinya. Dia
tidak menafikan, sejak tingkatan satu lagi Adlina merupakan pesaingnya dalam
bidang sukan. Tetapi, dia tidak pernah menganggap gadis remaja bertubuh sasa
itu sebagai seteru. Ah, tetapi gadis itu selalu sahaja mencari jalan untuk
menyakiti hatinya!
“Nampaknya,
kuda kesayangan sekolah ini sudah tempang kakinya. Kasihan,” ujar Adlina yang
berdiri di sebelahnya sambil berpeluk tubuh dan kemudiannya mencebik-cebikkan
bibir. Kata-kata itu disambut pula oleh gelak ketawa kawan-kawan baik Adlina.
“Tahun
yang sepatutnya menjadi tahun yang gemilang buat kau, akhirnya berubah menjadi
tahun yang malang. Sungguh tragis sekali,” tambah Adlina lagi. Dia seolah-olah
belum puas untuk menyakiti hati Adiwati.
Adiwati
berhenti menyuap mi goreng ke dalam mulutnya. Dia memandang tepat wajah Adlina.
Matanya tidak berkelip. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menyumbatkan sudu
dan garfu yang sedang dipegangnya ke dalam mulut celopar Adlina. Tetapi Syaza
yang duduk di sebelahnya menggenggam kuat lengannya.
“Jangan
bersikap macam budak-budak, Wati. Biarkan saja,” bisik Syaza ke telinganya.
“Selamat
tinggal, kuda tempang! Jangan bermain di dalam bilik air lagi, ya. Nanti
tempang pula sebelah kaki lagi,” sindir Adlina dan kemudiannya berlalu
bersama-sama kawannya.
Syaza
yang menjadi saksi peristiwa itu hanya mampu menggelengkan kepalanya beberapa
kali. Adiwati pula hanya tunduk. Seleranya untuk terus menikmati mi goreng itu
tiba-tiba menjadi tumpul. Dia berasa malu apabila dihina begitu di depan
pelajar-pelajar lain di kantin.
“Sabarlah,
Wati,” bujuk Syaza. “Memang begitu fiilnya. Entah bila akan berubah.
Angkuh…ego.”
Adiwati
melepaskan keluhan yang berat. “Aku tidak pernah berniat untuk bermusuh dengan
sesiapapun, Syaza. Malah, jauh sekali ingin bermegah-megah dengan apa-apa yang
aku miliki. Tetapi kenapa dia memusuhi aku? Apakah kelebihan ini suatu dosa?”
Syaza
membatukan diri. Dia merenung gelas plastik kosong yang dipegangnya. Dia
menjadi rakan sebilik dengan Adiwati kira-kira setahun yang lalu, setelah
Marina, teman sebilik Adiwati semenjak tingkatan satu berjaya menempatkan diri
ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di selatan tanah air. Pada awalnya, dia
berulang alik dari kampungnya yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sekolah
itu. Kampungnya terletak di kawasan yang agak terpencil di daerah Endau –
perkhidmatan bas awam juga tidak tentu jadual perjalanannya. Ada kalanya, dia
terpaksa menggunakan khidmat kereta sapu dan terpaksa mengeluarkan belanja yang
lebih untuk ke sekolah. Dia berasa lega apabila permohonannya untuk menginap di
asrama diterima.
Selepas
memasukkan pinggan dan gelas plastik yang digunakan ke dalam besen besar yang
disediakan di suatu sudut kantin, mereka meninggalkan kantin. Bengkak pada
bahagian buku lali itu menyebabkan Adiwati tidak dapat berjalan pantas seperti
biasa. Sesekali dahinya berkerut menahan sakit. Ubat penahan sakit yang
dibekalkan oleh doktor yang merawatnya tempoh hari hari hanya berkesan untuk
suatu tempoh yang tertentu sahaja. Mujurlah kelasnya terletak di aras satu blok
setinggi tiga tingkat itu. Jika tidak, keadaannya pasti akan bertambah sulit
lagi.
Syaza
yang berjalan beriringan dengannya sentiasa mengawasi pergerakannya. Baharu
sahaja Adiwati menginjakkan kakinya pada anak tangga pertama bangunan itu,
seorang guru wanita yang bertubuh agak gempal memanggil namanya. Langkah
Adiwati dan Syaza mati serentak. Mereka menoleh ke belakang.
“Saya
baharu saja menyuruh seorang pelajar mencari kamu, Adiwati,” ujar Cikgu Latifah
seraya membetulkan cermin matanya yang agak senget kerana dia agak
terkocoh-kocoh keluar dari pejabat sebaik sahaja melihat kelibat Adiwati
melalui biliknya yang terletak di aras bawah blok itu – bilik Kelab Majalah
Sekolah.
“Masuklah
ke dalam bilik saya dahulu. Ada perkara
penting yang saya ingin bincangkan dengan kamu. Kamu Syaza, boleh ikut
sekali,” ajak Cikgu Latifah sambil tersenyum.
Sebaik
sahaja Adiwati dan Syaza masuk ke dalam bilik itu, Cikgu Latifah mempersilakan
mereka duduk. Berkali-kali Cikgu Latifah meminta maaf disebabkan keadaan bilik
itu yang agak bersepah dengan pelbagai kertas, gambar, alat tulis di atas
mejanya.
“Tak
sempat nak kemas. Belakangan ini, banyak kerja yang perlu dibereskan. Saya agak
kelam-kabut sedikit.”
“Tidak
mengapalah, cikgu. Kami faham,” balas Adiwati sebaik sahaja melabuhkan
punggungnya di sebuah bangku kayu yang terletak di dalam bilik itu.
“Saya
bersimpati dengan kamu, Adiwati. Tetapi saya percaya, kamu akan dapat
menempuhinya dengan sabar. Ini ujian buat kamu,” kata Cikgu Latifah, guru
penasihat Kelab Majalah Sekolah. Tangannya pantas mengemas kertas-kertas dan
alat tulis yang bersepah di atas meja itu dan diletakkan di sebuah rak yang
terletak di penjuru bilik itu.
Selepas
permukaan meja itu meja itu menjadi agak lapang, baharulah Cikgu Latifah duduk
di hadapan Adiwati dan Syaza.
“Begini,
Adiwati. Kamu tentu sudah maklum bahawa Farid yang menjadi editor majalah
sekolah ini telah berpindah ke sekolah baharu di utara tanah air kerana
mengikut bapanya yang bertugas sebagai anggota polis. Jadi, setelah berbincang
dengan beberapa orang guru dan guru kanan di sekolah ini, kami bersependapat
untuk melantik kamu mengisi kekosongan jawatan ini. Bagaimana?”
Berderau
perasaan Adiwati sebaik sahaja mendengar tawaran daripada Cikgu Latifah. Dia
memandang Syaza – mereka saling berpandangan.
“Tapi,
cikgu…” Adiwati cuba meluahkan apa yang mula bersarang di dalam hatinya.
Tanggungjawab yang bakal dipikul seandainya menerima tawaran itu amat berat.
Dia bimbang jika tidak mampu untuk menggalasnya.
“Adiwati,
ini soal peluang dan kepercayaan,” pintas Cikgu Latifah. Selepas membuat
penilaian yang sewajarnya, saya dan guru-guru lain amat berkeyakinan bahawa
kamulah yang paling layak mendukung tugas ini.”
Adiwati
bungkam. Lidahnya menjadi kelu tiba-tiba. Dia memikirkan kata-kata Cikgu
Latifah. Peluang dan kepercayaan; peluang tidak selalunya datang dan
kepercayaan pula sesuatu yang amat sukar untuk dikembalikan kepada yang
memberikannya.
“Beginilah,
Adiwati. Mungkin kamu tidak akan dapat memberikan jawapannya sekarang. Saya berikan
tempoh beberapa hari untuk kamu memikirkannya,” kata Cikgu Latifah setelah
melihat belum ada tanda-tanda Adiwati akan memberikan reaksinya.
Hanya
ada dua perkataan; menolak atau menerima. Dan, kedua-dua perkataan itu terus
mengasak ruang fikirnya bertalu-talu. Dia tidak boleh terburu-buru dalam
membuat sebarang keputusan. Kesilapan dalam membuat keputusan hanya akan
mengundang kerancuan dan mengganggu emosi dirinya.
Adiwati
cuba membuang peperangan perasaan yang meletus dalam dirinya itu semasa berada
di dalam kelas. Tumpuannya harus fokus kepada pengajaran Cikgu Ng Ah Kau, guru
mata pelajaran Geografi. Guru yang bertubuh kurus dan tinggi lampai serta
berkaca mata itu paling tidak gemar jika ada anak didiknya khayal semasa dia
mengajar.
Ternyata
Adiwati tersentak apabila secara tiba-tiba Cikgu Ng Ah Kau melontarkan
pertanyaan kepadanya tentang topik yang diajarkannya. Adiwati bangun –
terpisat-pisat. Pertanyaan Cikgu Ng Ah Kau tidak singgah di telinganya
langsung. Adiwati hanya tunduk dan amat menyedari kekhilafan dirinya.
“Maafkan
saya, cikgu. Saya tidak dapat menjawab soalan yang cikgu kemukakan. Saya
berjanji tidak akan mengulanginya lagi, cikgu.” Tanpa disuruh, Adiwati
bersuara. Polos nadanya.
Dia
amat bernasib baik apabila Cikgu Ng Ah Kau yang berdiri sambil bercekak
pinggang di hadapan tidak memarahinya seperti lazimnya. “Adiwati, saya tahu
kamu berada dalam keadaan tertekan sekarang. Mungkin sebab kecederaan yang kamu
alami atau ada sebab-sebab lain yang saya tidak tahu. Sebelum ini kamu sentiasa
fokus dan dapat menjawab soalan-soalan yang saya ajukan dengan baik. Saya akan
harap kamu akan memberikan tumpuan selepas ini. Kamu boleh duduk.”
“Terima
kasih, cikgu,” jawab Adiwati seraya duduk. Dia perasaan, ada beberapa pasang
mata di dalam kelas itu sedang memerhatikan dirinya. Malah, ada yang tersenyum
sinis.
Biarlah,
bisik Adiwati.
* * * *
Usai solat zohor, Adiwati meletakkan sejadah dan
telekung yang telah dilipatnya di sidaian kain yang terletak di sebelah kepala
katilnya. Syaza, sehabis sahaja kelas tadi terus lena tanpa menanggalkan
pakaian sekolah. Barangkali dia terlalu mengantuk kerana tidur agak lewat malam
tadi – menyiapkan latihan Matematik Tambahan. Dia tidak mahu mengganggu tidur
Syaza. Sementelah, rakan sekamarnya itu memang tidak boleh bersolat.
Bengkak
pada buku lali kakinya sudah mula menyurut. Dia masih berharap agar buku lalinya
yang terseliuh itu dapat sembuh sebelum temasya sukan tahunan sekolahnya
bermula. Jika mengikutkan kata hatinya, mahu sahaja dia turun ke padang petang
nanti. Walaupun tidak dapat berlatih, sekurang-kurangnya dia dapat memberikan
sokongan moral kepada rakan-rakan sepasukannya.
Entah.
Secara tiba-tiba keinginannya untuk beraksi dalam kejohanan itu begitu
meluap-luap, apatah lagi apabila teringat akan peristiwa di kantin pada pagi
tadi. Dia tidak pernah diajari ayahnya supaya mengalah dan berputus asa. Kata
ayahnya, selalu mengalah dan berputus asa itu adalah ciri-ciri orang yang akan
gagal menggapai impiannya.
Aku
tidak boleh mengalah! Aku mesti kuat! Tekadnya sambil menggenggamkan jari-jari
tangannya seperti hendak menumbuk sesuatu.
Tiba-tiba
pintu biliknya diketuk lembut beberapa kali dan diikuti suara orang memberi
ucapan salam. Dia dapat mengecam suara itu. Segera dia bingkas dari birai katil
dan berjalan terjengket-jengket untuk membuka pintu biliknya.
Sebaik
sahaja pintu terkuak, Cikgu Nabiha sudah terpacak di muka pintu sambil
tersenyum memandangnya.
“Masuklah,
cikgu. Maaf kalau bilik kami tak berapa kemas. Nak saya kejutkan Syaza?” ujar
Adiwati mempelawa Cikgu Nabiha.
“Tak
mengapalah. Biarlah Syaza tidur. Saya tidak mahu mengganggu dia,” balas Cikgu
Nabiha.
Adiwati
mengambil sebuah bangku plastik yang lazimnya digunakan untuk duduk semasa
mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan kerja-kerja sekolahnya. Dia
mempersilakan Cikgu Nabiha duduk.
“Bagaimanakah
keadaan kaki kamu?” tanya Cikgu Nabiha.
“Alhamdulillah.
Sudah bertambah pulih, cikgu,” jawab
Adiwati. Wajahnya agak ceria.
“Boleh
saya tengok?”
Adiwati
angguk dan sederam itu dia menghulurkan kakinya. Cikgu Nabiha membelek-belek
buku lali Adiwati; bengkaknya sudah semakin menyusut. Dia berpuas hati.
“Kalau
begini, dalam seminggu lagi kamu sudah boleh turun berlatih, Wati,” ujar Cikgu
Nabiha.
“Harap-harap
begitulah, cikgu. Terima kasih kerana sudi membantu saya,” balas Adiwati. “Duit
kasut tu nanti saya akan jelaskan selepas saya keluarkan duit dari bank.”
Cikgu
Nabiha tersenyum lalu menepuk bahu Adiwati. “Saya datang ke bilik kamu ni bukan
mahu mengutip hutang. Saya cuma mahu melihat keadaan kamu.”
Cikgu
Nabiha sedar, sekolah ini mempunyai peraturan yang agak ketat untuk pelajar-pelajar
yang tinggal di asrama. Mereka hanya dibenarkan keluar dua minggu sekali sahaja
mengikut masa yang ditetapkan. Oleh sebab itu, pemilihan pelajar-pelajar yang
layak untuk tinggal di asrama melalui proses saringan yang ketat.
“Saya
dengar kamu terpilih sebagai editor majalah sekolah. Betulkah?” Tanya Cikgu
Nabiha. Dia sekadar inginkan kepastian. Dia mendengar berita itu semasa berada
di bilik guru; beberapa orang guru sedang membicarakan hal itu.
Adiwati
menggangguk. “Itulah yang sedang saya fikirkan, cikgu. Sama ada mahu menerima
atau menolak tawaran itu.” Dia melepaskan keluhan yang agak berat.
“Saya
percaya bahawa pemilihan kamu adalah berdasarkan bakat dan potensi, Wati. Saya
sering membaca artikel-artikel yang kamu sumbangkan majalah itu sebelum ini.
Tidak semua pelajar mempunyai daya berfikir seperti kamu. Malah, artikel yang
kamu tulis lazimnya keluar daripada kepompong pemikiran seorang pelajar. Itulah
keistimewaan kamu,” ujar Cikgu Nabiha. Dia sememangnya meyakini kebolehan dan
bakat yang dimiliki oleh Adiwati. Dan, siapa sangka seorang pelajar yang
membesar di sebuah kawasan pedalaman mempunyai pemikiran yang matang dan
pengetahuan yang luas.
“Cikgu
terlalu memuji saya pula,” kata Adiwati; agak tersipu-sipu mendengar kata-kata
Cikgu Nabiha. “Pendapat cikgu, bagaimana?”
“Sebaik-baiknya,
kamu terima sahajalah tawaran itu. Tambahan pula, tahun ini merupakan tahun
terakhir kamu di sekolah ini. Sekurang-kurangnya, pengalaman yang kamu peroleh
nanti mungkin berguna untuk masa depan,” jawab Cikgu Nabiha. “Yang perlu kamu
lakukan sekarang adalah kebijaksanaan menguruskan masa.”
Adiwati
segera faham. Itulah kebimbangan sebenar yang menggeluti fikirannya sebaik-baik
sahaja ditawarkan jawatan itu oleh Cikgu Latifah. Apatah lagi tahun ini dia
bakal menduduki peperiksaan SPM; dia mesti lulus dengan cemerlang untuk
mengejar cita-citanya. Bakat pula merupakan anugerah daripada Yang Maha Esa –
tidak akan disia-siakannya. Mungkin itulah yang diwarisi daripada darah ibunya.
Dan,
tiba-tiba hatinya menjadi sebak apabila terkenang akan ibunya. Dia tidak akan
melupakan peristiwa itu. Sungguh! Dia tidak akan melupakannya sampai bila-bila.
Cikgu
Nabiha telah agak lama meninggalkan biliknya. Syaza yang baharu tersedar dari
alam lenanya masih bergolek-golek di atas ranjangnya; seolah-olah belum puas
tidurnya. Dia kaget apabila Adiwati memberitahunya tentang kedatangan Cikgu
Nabiha.
“Kenapa
tak kejut aku?” ujar Syaza. Bingkas dari pembaringannya lalu menyandarkan
tubuhnya pada kepala katil.
“Cikgu
Nabiha kata tak payah ganggu tidur kau. Agaknya dia tahu engkau keletihan,”
balas Adiwati. Dia mengeluarkan sepasang pakaian sukan dari almari pakaiannya.
Tindakannya itu tentu sahaja mengundang perhatian Syaza.
“Kau
mahu turun ke padang?” tanya Syaza.
Adiwati
mengangguk. “Kau mahu ikut?”
“Kaki
kau?”
Adiwati
senyum. Dia memilih baju T sukan sekolah berwarna biru muda; baju yang
berlengan panjang. “Jangan bimbang. Aku tidak akan berlari petang ini. Sekadar
melihat teman-teman sepasukan berlatih,” jelas Adiwati.
“Bagus
juga cadangan kau tu, Wati. Sekurang-kurangnya, tidaklah kita terperap di dalam
bilik ni. Beku otak jadinya.” Syaza menyatakan persetujuannya.
“Tunggu
apa lagi? Dah pukul 4.30 petang ni. Pergilah mandi. Aku mahu bersolat asar
dulu,” gesa Adiwati apabila melihat Syaza masih lagi bermalas-malas di atas
katilnya.
Ketika
sampai di padang, sudah ramai pelajar berada di situ. Lokasi mereka dibahagikan
mengikut aktiviti yang dijalankan. Adiwati dan Syaza yang menganggotai pasukan
Rumah Temenggung berjalan beriringan menuju ke bahagian hujung padang untuk
melihat rakan-rakan mereka berlatih lompat jauh.
Ternyata
kehadiran Adiwati menarik perhatian rakan-rakan sepasukannya. Mereka segera
mengerumuni Adiwati untuk melihat sendiri keadaan Adiwati. Cikgu Faridah, Cikgu
Mazlina dan Cikgu Saidi yang bertugas pada petang itu turut menghampirinya.
“Kamu
mahu turun berlatihkah, Adiwati?” Cikgu Saidi yang memakai topi besar yang
lazimnya dipakai oleh pekebun-pekebun sayur. Walaupun sudah hampir pukul 5.00
petang, cahaya matahari yang memancar masih terik – membakar kulit.
Adiwati
tersenyum dan menggeleng. “Belum boleh lagi, Cikgu Saidi. Mungkin seminggu dua
lagi. Kalau dah sembuh nanti, insya-Allah saya akan berlatih seperti biasa.”
Walaupun
ada riak kehampaan yang terpapar pada raut wajah Cikgu Saidi, tetapi dia segera
memahami keadaan anak didiknya itu. “Tidak mengapalah, Adiwati.
Sekurang-kurangnya, kedatangan kamu pada petang ini akan membakar semangat
peserta-peserta rumah Temenggung.”
Ketiadaan
Adiwati beberapa hari yang lalu semasa latihan memang sangat dirasai. Sebelum
ini, Adiwatilah yang banyak membantu guru-guru rumah Temenggung semasa sesi
latihan kerana dia merupakan setiausaha rumah sukan itu. Ada kalanya, dialah
yang bertindak memberikan tunjuk ajar kepada ahli-ahli perempuan rumah sukan
itu tentang teknik larian dan lompatan yang betul. Dalam acara sukantara nanti,
acara yang bakal dipertandingkan ialah lumba lari 100m, 200m, lontar peluru,
ejam lembing dan lompat jauh. Semua pelajar wajib menyertainya.
Syaza
pula, walaupun telah mendapat pengesahan daripada doktor agar tidak melakukan
aktiviti sukan kerana masalah asma tetap mengikuti perkembangan pasukan
rumahnya. Minatnya dalam bidang sukan tetap ada, cuma dibatasi masalah
kesihatan. Oleh sebab itu, dia lebih tertumpu kepada bidang ko-akademik seperti
teater dan permainan dalaman seperti catur.
Mereka
duduk di bawah sepohon pokok yang rendang yang ditanam berhampiran pagar
sekolah setelah bertemu dengan rakan-rakannya. Adiwati sempat memberikan
galakan agar rakan-rakannya berusaha dengan lebih gigih untuk mengekalkan johan
keseluruhan rumah sukan dalam temasya sukan itu nanti.
Jika
ditakdirkan kakinya tidak sembuh juga menjelang temasya sukan itu nanti,
Adiwati pasrah. Sebagai manusia, dia hanya mampu berusaha dan membuat rencana,
namun Allah jugalah penentu yang paling mutlak. Dia reda.
“Kalau
ditakdirkan kaki ini tidak sembuh, aku pasrah, Syaza. Kita mesti percaya akan
qada dan qadar Allah. Nasib tidak akan sentiasa menyebelahi kita,” ujar
Adiwati. Pandangannya masih tertebar ke arah padang. “Mungkin ini peluang
untuknya...”
“Siapa?
Adlina?” Syaza memandang tepat wajah Adiwati sambil membetulkan cermin matanya.
Adiwati
hanya mematikan dirinya.
“Kalau
aku dapat berlari seperti engkau, percayalah, aku tidak akan memberikan ruang
kepada Adlina!” kata Syaza; geram.
“Janganlah
marah sangat,” usik Adiwati apabila melihat Syaza kelihatan agak emosional.
“Marah
tu tidaklah, Wati. Tapi dia tu kalau menang sesuatu pertandingan, riuhnya
mengalahkan ayam betina hendak bertelur!” balas Syaza. Sederam itu, ketaw
mereka berderai.
Dan,
dari arah satu sudut padang yang lain, kelihatan sepasang mata sedang
memerhatikannya; pandangan yang penuh dengan kebencian dan keegoan!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar