Senin, 21 Oktober 2013

Adiwati: Bab 4



BAB 4: JUARA YANG TEWAS

Segala persiapan untuk kejohanan sukan SMK Cahaya Baharu  telah siap diatur. Beberapa buah balai telah didirikan; ada tujuh balai kanopi. Empat daripadanya ialah balai rumah sukan yang bertanding – Temenggung, Bendahara, Laksamana dan Syahbandar. Tiga buah balai lagi merupakan balai untuk petugas-petugas khas, balai peserta dan balai untuk rawatan kecemasan. Seminggu sebelum kejohanan itu berlangsung, para ahli rumah sukan sibuk menghias balai dengan kreativiti masing-masing. Sekumpulan pelajar telah dipilih untuk membantu guru-guru mempersiap astaka yang akan dijadikan tempat tetamu khas.
            Adiwati tidak terkecuali. Walaupun agak sibuk menjalani latihan untuk mengembalikan kecergasannya, dia masih punya kesempatan untuk membantu rakan-rakannya. Malah, dia turut melontarkan pandangan dan pendapat tentang konsep hiasan rumah Temenggung. Syaza tidak membantunya kerana telah diarahkan oleh guru untuk menghiaskan astaka.
            Adiwati sedar, kesungguhannya untuk bersaing dalam kejohanan sukan kali ini mengundang ejekan dan cemuhan yang berterusan daripada Adlina. Malah, setiap kali dia berlatih dalam acara lari 100m dan 200m Adlina akan berada berhampiran trek untuk meengganggunya.
            Ketika dia sedang berehat di dalam balai sambil meminum sebotol air mineral yang dibekalkan oleh guru rumah sukannya, dia dihampiri oleh Farouq; pelajar tingkatan lima sains yang disebut-sebut bakal menjadi olahragawan sekolah tahun berdasarkan masa yang dicatatkannya dalam acara 100m dan 200m pada sesi latihan. Adiwati kelihatan agak serba salah apabila Farouq menarik sebuah bangku kosong lalu duduk di sebelahnya tanpa menghiraukan beberapa orang pelajar di situ yang memerhatikan gelagatnya.
            “Penat? Sejak tadi saya tengok awak sibuk,” sapa Farouq sambil melemparkan senyuman kepada Adiwati.
            Adiwati sekadar mengangguk. Matanya meliar ke arah padang yang masih sibuk; ramai pelajar bertungkus-lumus menyiapkan tugasan masing-masing. Begitu juga dengan para guru yang kelihatan bersungguh-sungguh menjalankan tugas yang diamanahkan di samping memberikan arahan dan tugasan kepada para pelajarnya. Suasana di padang masih meriah.
            “Kenapa awak sentiasa menjauhkan diri daripada saya? Adakah saya telah melakukan kesalahan?” soal Farouq – mencuri pandang ke arah Adiwati.
            “Awak ada jawabannya, Farouq. Awak tahu tentang itu atau sengaja buat-buat tidak tahu?” balas Adiwati. Jengkel.
            “Fasal hal itu?” Farouq ketawa. Agak kuat sehingga menarik perhatian beberapa orang rakan sepasukan Adiwati. Apabila menyedari gelagatnya sedang diperhatikan, Farouq segera menekup mulutnya dengan tangan.
            Adiwati mendegus. Geram benar dia melihat telatah Farouq. Perkara yang serius pun dia boleh ketawa.
            “Takut?” tanya Farouq lagi. “Bukankah saya telah jelaskan kepada awak sejak awal lagi bahawa tiada sesiapa pun yang berhak mencampuri urusan peribadi saya,” tegas Farouq.
            Jika diturutkan hatinya, mahu sahaja disumbatkan botol mineral yang digenggamnya itu ke mulut Farouq. Ah, lelaki ini! Ego dan terlalu mementingkan diri sendiri. Rungut Adiwati.
            Farouq Arasy. Nama pelajar yang sering meniti di bibir pelajar-pelajar SMK Cahaya Baharu, khususnya dalam kalangan pelajar perempuan. Bukan sahaja kerana ketampanan remaja berdarah kacukan Melayu dan India itu, tetapi kerana kecemerlangannya dalam pelbagai bidang di sekolah itu. Malah kerana kekayaannya juga. Ayahnya mempunyai kilang memproses kayu balak dan syarikat pembinaan yang terkemuka di bandar Mersing. Ibunya pula seorang peguam yang sangat dihormati. Siapakah yang tidak mengenali pasangan Datuk Farhan dan Datin Aisyah Kaur? Pasangan yang sangat berpengaruh di daerah itu.
            Farouq menyikat-nyikat rambutnya yang ikal dengan jari-jarinya. Riak wajahnya kelihatan kecewa melihat tindak balas daripada Adiwati itu. Dingin. Beku.
            “Niat saya ikhlas, Wati. Saya cuma mahu menjadi salah seorang daripada sahabat baik awak. Adakah itu suatu dosa?” Nada suara Farouq kian mengendur.
            “Farouq, saya tidak menafikan yang awak benar-benar ikhlas mahu berkawan dengan saya. Tetapi, awak mesti faham situasi saya. Saya tak mahu pisang berbuah dua kali!” ujar Adiwati. Kali ini dia berani memandang dan bertentang mata dengan Farouk.  “Saya tidak mahu memburukkan lagi keadaan yang sudah sedia teruk.”
            “Adlina?” ujar Farouk sinis. “Apa hak dan kuasa dia untuk menghalang awak berkawan dengan saya? Ini soal peribadi saya.”
            “Ya, saya tahu!” bentak Adiwati. "Masalahnya, disebabkan soal peribadi awak itulah saya yang menjadi mangsa cacian dan sumpah-seranahnya. Awak faham?” Jika boleh, Adiwati tidak mahu melanjutkan perbualannya dengan Farouk. Cukuplah sekali dia diserang oleh Adlina hanya disebabkan perkara yang agak mengarut pada fikirannya.
            Buat masa ini, dia tidak berminat untuk menjalinkan hubungan yang serius dengan mana-mana pelajar lelaki. Sungguh-sungguh. Baginya, perkara yang bersifat peribadi dalam hidupnya sekarang ialah dirinya, keluarganya dan dunianya. Itu sahaja.
            “Walau apapun alasan awak, saya tetap tidak akan berputus asa, Wati. Saya percaya, jika kita melakukan sesuatu perkara itu dengan niat yang baik, pasti kita akan mendapat hasil yang baik,” kata Farouk.
            Adiwati hanya mengangkat kedua-dua bahunya. Dan, dia menarik nafas lega apabila Cikgu Saidi meniup wisel beberapa kali dan memanggilnya supaya berada di balapan untuk latihan lari berganti-ganti 4 x 100m. Dia akan diletakkan sebagai pelari yang terakhir bergandingan dengan Salbiah, Manisah dan Letchumy. Tahun ini dia bergandingan dengan pelari-pelari pecut yang baharu.
            “Saya masuk ke padang dulu. Cikgu Saidi dah panggil saya,” ujar Adiwati dan berlalu meninggalkan Farouk termangu-mangu sendirian di situ.
            Walaupun tumpuan pada petang itu agak terganggu, Adiwati tetap berusaha untuk memberikan aksi yang terbaik dalam latihannya. Dia berlari sederas yang mungkin seolah-olah untuk melepaskan apa-apa yang terbuku dan bersarang di dalam hatinya. Sorakan dan jeritan rakan-rakan sepasukan menyemarakkan keazamannya lagi. Dia tidak boleh tewas!

****

Ketika segala-galanya kelihatan berjalan dengan baik dan lancar, Adiwati langsung tidak menduga bahawa semuanya akan berakhir dengan tragedi. Bukan setakat tewas, malah dia terpaksa dikejarkan ke hospital kerana kakinya terseliuh lagi. Betapa kain pembalut yang digunakan untuk membalut buku lalinya gagal untuk melindungi kakinya kali ini.
            Dia dihantar ke Hospital Mersing oleh Cikgu Saidi dan Cikgu Mazlina serta ditemani oleh Syaza. Kali ini, dia terpaksa ditahan di wad kerana doktor yang memeriksanya mendapati tisu pada bahagian buku lalinya telah koyak. Doktor telah memberikannya suntikan di samping beberapa jenis ubat yang perlu dimakan.
            Cikgu Saidi dan Cikgu Mazlina berada di hospital itu sehingga urusan kemasukan Adiwati ke dalam wad selesai.
            “Mengapakah kamu terlalu memaksa diri, Adiwati?” tanya Cikgu Mazlina lembut. Dia duduk di sebuah kerusi plastik yang disediakan di sebelah katil Adiwati. Cikgu Saidi dan Syaza pula berdiri di sebelah katil Adiwati.
            “Maafkan saya, cikgu. Saya fikir  kecederaan saya tidak terlalu serius dan saya masih boleh berlari seperti biasa,” jawab Adiwati. Dahinya kelihatan berkerut menahan sakit.
            “Kalau saya dan Cikgu Saidi tahu bahawa kamu belum sembuh sepenuhnya, kami tidak akan benarkan kamu menyertai kejohanan sukan tahunan ini,” ujar Cikgu Mazlina. Kesakitan yang sedang ditanggung oleh Adiwati mengundang perasaan simpatinya.
            Adiwati diam. Kali ini dia mengakui akan kesalahannya. Malah, perkara itu sebenarnya turut dirahsiakan daripada pengetahuan Syaza. Jika dia memberitahu situasi yang sebenarnya, sudah tentu hasratnya akan dihalang sejak awal lagi.
            “Saya tahu gelaran “Ratu Pecut” ini sangat penting bagi kamu. Tetapi, kesihatan kamu lebih penting, Adiwati. Dan, saya percaya jika kamu telah sembuh sepenuhnya daripada kecederaan yang lalu, saya pasti jawatankuasa olahraga sekolah akan mempertimbangkan kamu untuk mewakili sekolah dalam kejohanan olahraga peringkat daerah secara automatik kerana kamu merupakan pemegang rekod 100m dan 200m daerah tahun lalu,” kata Cikgu Saidi. Dia berasa agak terkilan dengan sikap Adiwati. Tetapi itulah Adiwati. Semangatnya terlalu kental dan waja.
            “Saya cuma mahu bersaing secara adil, Cikgu Saidi, Cikgu Mazlina,” balas Adiwati; memandang wajah Cikgu Saidi dan Cikgu Mazlina. “Saya tidak mahu merampas hak orang lain.”
            “Tetapi, kamu juga yang menanggung akibatnya, Adiwati,” ujar Cikgu Mazlina.
            “Tidak mengapalah, cikgu. Saya reda dengan apa yang menimpa diri saya. Sekurang-kurangnya, saya telah berusaha untuk membuktikan sesuatu.” Walaupun kegagalan itu sesuatu yang amat pahit untuk ditelan dan terpaksa menanggung penderitaan pula, Adiwati tetap berasa puas. “Terima kasih, cikgu kerana sudi menghantar saya ke hospital dan mengambil berat tentang diri saya.”
            Cikgu Mazlina dan Cikgu Saidi senyum. Walaupun berasa sedih dengan peristiwa yang menimpa Adiwati, mereka tetap berasa bangga dengan semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh Adiwati. Dan, mereka juga perlu menerima hakikat bahawa untuk kejohanan sukan tahunan kali ini, rumah Temenggung telah kehilangan tiga emas!
            Terkedang sendirian di atas katil di dalam wad itu membuatkan dirinya berasa begitu jauh daripada keriuhan dan kerenah teman-teman sekelasnya. Mujurlah dia telah selesai memilih karya-karya pelajar yang layak  untuk dimuatkan dalam majalah Suara Generasi. Jika tidak, pasti kerja-kerjanya akan tertunda lagi.
            Di  dalam Wad Melur, hanya ada lapan orang pesakit daripada enam belas buah katil yang terdapat di situ. Dia diletakkan di katil yang yang paling hujung; bersebelahan dinding. Ketika melihat beberapa orang pesakit di dalam wad itu dilawati oleh ahli keluarga dan sahabat-handai, kesunyian tiba-tiba sahaja menghambat dirinya. Pergerakannya juga agak terbatas kerana bahagian buku lalinya berbalut. Dia terpaksa menggunakan tongkat untuk menyokong pergerakannya.
            Semalaman di wad itu, Adiwati berasa agak selesa kerana mendapat layanan yang baik daripada jururawat-jururawat yang bertugas di  situ. Segala keperluan dan kehendaknya diladeni dengan sebaik-baiknya. Walaupun terpaksa melayani kerenah pesakit-pesakit di situ, ternyata jururawat-jururawat yang kebanyakannya masih muda itu tetap menjalankan tugasnya dengan sabar.
            Pada waktu pagi, suasana di dalam wad agak sibuk; para jururawat memberikan ubat-ubatan kepada para pesakit. Ada juga jururawat yang membantu pesakit membersihkan diri dan menukar kain cadar yang kotor. Pekerja-pekerja am hospital pula sibuk membersihkan dan mengemop lantai wad.
            Selepas membersihkan dirinya, Adiwati duduk sambil menyandarkan badannya yang dilapik dengan bantal pada birai katil – kedua-dua belah kakinya dilunjurkan. Dia sempat mengambil beberapa naskhah majalah yang diletakkan di rak di suatu sudut bersebelahan meja jururawat. Dia tidak suka masanya terbuang begitu sahaja.
            Syaza ada memberitahunya semalam bahawa dia dan beberapa orang rakan sekelasnya ada datang melawatinya petang nanti – jika mendapat pelepasan daripada warden. Syaza akan membawakannya beberapa buah buku rujukan untuk dibacanya. Dia mungkin akan berada di wad itu dua atau tiga hari lagi setelah doktor berpuas hati dengan tahap pemulihan buku lalinya.
            Dia teringat akan ayahnya di kampung. Bukan dia tidak boleh menghubungi telefon genggam ayahnya, tetapi dia tidak mahu ayahnya bersusah hati jika mengetahui dia dimasukkan ke wad. Dia juga tidak mahu ayahnya bersusah payah untuk datang melawatinya di situ. Dia kenal amat dengan perangai ayahnya.
            Ketika dia sedang menikmati makan tengah hari dengan hidangan yang sekadarnya, sepasang matanya seolah-olah melekat pada dua susuk tubuh yang sedang menghampirinya – amat dikenalinya. Hampir-hampir sahaja pinggan yang dilepaskannya terlepas.
            Benarkah apa yang dilihatnya? Jika benar, siapakah yang memberitahu mereka? Sebak menghurung dada. Dia meletakkan pinggan yang sedang dipegangnya di atas meja kecil yang diletakkan di sebelah katilnya. Dengan debar, dia menanti kedua-duanya.
            Sebaik-baik sahaja lelaki yang sedang disorong menaiki kerusi roda itu berada betul-betul berada di sisi katilnya, Adiwati segera bersalam-salaman dengannya lalu mendakapnya. Empangan air matanya runtuh juga. Betapa dia benar-benar berasa terharu dengan kehadiran ayahnya.
            Masih tiada kata-kata yang mampu lahir daripada bibir Adiwati. Perasaannya masih dikepung perasaan sebak dan terharu.
            “Ayah dapat tahu daripada cikgu Wati yang menelefon ayah semalam. Mujurlah ada Ucin yang sanggup menghantar ayah ke mari,” jelas ayahnya seraya mengelap matanya yang merah dengan sehelai sapu tangan; meleraikan dakapannya.
            “Wati tak mahu susahkan ayah. Bukan senang nak datang ke sini,” balas Adiwati – menyeka air matanya dengan hujung lengan baju hospital berwarna hijau yang tersarung di tubuhnya sejak semalam. “Terima kasih, Ucin,” ucap Adiwati sambil memandang ke arah Ucin yang masih berdiri di belakang kerusi roda ayahnya.
            “Tidak mengapalah, Wati. Ayah kau begitu bimbang sebaik-baik sahaja menerima panggilan telefon dari sekolah. Aku pula tidak terlalu sibuk. Jadi, aku hantarlah ayah kau ke sini,” jawab Ucin. Tersenyum.
            Ayah Adiwati mengeluarkan dua bungkusan daripada beg kain yang dibawanya. “Ini ayah bawakan ayam denak panggang. Ucin yang meraciknya semalam. Ayah tahu kamu suka ayam denak panggang,” kata ayahnya. Adiwati menyambut bungkusan upih berisi ayam denak panggang itu. Walaupun bungkusan itu masih berikat kemas, tetapi aroma enak ayam denak panggang itu lolos juga menerjah hidungnya.
            Kemudian ayahnya menghulurkan satu lagi bungkusan upih. “Ini nasi yang ayah masak dalam buluh. Kalau Wati lapar nanti, makanlah.”
            Dalam keadaan begitu, tiada kalimat yang terungkap daripada mulutnya. Hanya jernih air mata yang menuruni cerun-cerun pipinya yang gebu dan mulus sebagai jawabannya.
            “Kaki kamu bagaimana, Wati?” tanya ayahnya lembut sambil mengusap-usap hujung kakinya.
            Adiwati menyeka air matanya lagi. Dia malu lagi untuk menangis. Biarlah Ucin melihatnya. Biarlah Ucin tahu perasaannya pada kala itu.
            “Masih sakit lagi, ayah,” jawab Adiwati dalam suara yang tersekat-sekat. “Hanya sakitnya sudah agak kurang selepas memakan ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor.”
            Ayahnya terangguk-angguk. “Mengapakah sampai jadi begini, Wati? Tak salah kalau Wati mahu mencuba. Tapi jangan terlalu mencuba. Selepas ini, sebelum membuat sesuatu keputusan, fikirlah sedalam-dalamnya. Ayah bukan apa, Watilah satu-satunya zuriat ayah. Ayah tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada Wati,” ujar ayahnya lembut.
            “Maafkan Wati, ayah. Mungkin pada waktu itu Wati terlalu mengikutkan perasaan sehingga mengabaikan keadaan diri Wati sendiri. Insya-Allah, selepas ini Wati akan berhati-hati.”
            Lelaki yang sedang duduk di kerusi roda di sebelahnya itu tersenyum. Ucin yang sejak tadi berdiri melabuhkan punggungnya di kerusi plastik yang disediakan di situ. Inilah kali pertama Adiwati melihat Ucin berpakaian kemas – mengenakan kemeja lengan pendek berkotak-kotak dan seluar panjang berwarna hitam. Rambutnya walaupun tidak lurus disisir rapi.
            “Ucin, terima kasih kerana sudi hantar ayah aku ke sini. Maafkan aku kalau aku menyusahkan kau,” ucap Adiwati sambil melirih ke arah Ucin.
            “Tidak ada yang susahnya, Wati. Kalau kau berada di tempat aku, aku percaya kau juga akan melakukan perkara yang sama,” balas Ucin sambil tersenyum.
            Entah mengapa, dalam keadaan begitu tiba-tiba terbit keinginannya untuk segera kembali ke Kampung Kelisa – menikmati keindahan alam dan kedinginan air terjun di Lata Kelisa. Duduk di atas bongkah batu sambil melihat kanak-kanak di situ bermandi-manda; mendengar nyanyian unggas; menikmati alunan irama rimba yang tenang lagi mendamaikan.
            “Bagaimanakah pelajaran kamu, Wati?” soal ayahnya, menggugah lamunan Adiwati.
            “Setakat ni bagus, ayah. Cuma awal tahun ni  banyak kerja-kerja yang perlu Wati selesaikan. Kerja sekolah, aktiviti kokurikulum dan majalah sekolah,” jawab Adiwati. Kali ini suaranya agak ceria.
            “Majalah sekolah? Apakah tugas Wati?”
            “Editor, ayah. Pada mulanya, Wati menolak, tapi...”
            Ayahnya mengulum senyum.  “Kenapa nak tolak? Elok sangatlah tu.”
            “Tugasnya rumit sedikit.”
            “Tak mengapa. Belajarlah melalui kesulitan semasa kamu masih muda remaja, Wati. Lama-lama nanti, kamu akan biasa dengannya,” kata ayahnya – meniupkan semangat dan keyakinannya.
            “Betul kata ayah kau, Wati. Kau memang mempunyai bakat dan kebolehan dalam bidang ini. Aku harap kau akan terus menekuninya,” sokong Ucin yang sejak tadi hanya menjadi pemerhati perbualan dua beranak itu.
            “Yakah? Atau kau sahaja hendak mengambil hati aku, Ucin?” usik Adiwati.
            “Itulah kenyataannya. Bukankah semasa di sekolah rendah dulu kau yang sering mendapat markah tertinggi dalam mata pelajaran Bahasa Penulisan dan Bahasa Inggeris? Cikgu selalu memuji-muji karangan kamu,” ujar Ucin.
            “Itu dulu, Ucin. Sekarang semuanya telah berubah. Di sekolah tu, lebih ramai yang berkebolehan dan lebih pintar daripada aku,” luah Adiwati. Jika boleh,  dia mahu meluahkan semua yang dilaluinya kepada Ucin. Tetapi, keadaan membataskan segala-galanya. Apatah lagi di hadapan ayahnya sendiri, tentu kurang tidak manis.
            “Aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kau, Wati. Aku percaya kau mampu melakukan sesuatu yang boleh dijadikan kebanggaan penduduk di kampung kita.”
            Harapan ayahnya; harapan ibunya; harapan Ucin; harapan penduduk-penduduk Kampung Kelisa; semuanya seolah-olah tergalas di pundak kini. Kadang-kadang dia terfikir, mampukah dia menggalas harapan itu? Bagaimanakah jika dia tersungkur? Dia tidak berani untuk meramalkannya.
            “Kau mesti membuktikan sesuatu, Wati,” ujar Ucin sebelum dia bersama-sama ayahnya pulang disebabkan waktu melawat pada tengah hari itu telah tamat.
            Dia mengiringi ayahnya hingga ke pintu keluar wad walaupun ayahnya beberapa kali melarang kerana terlalu bimbang akan keadaan kakinya itu. Tetapi dia berkeras juga. Dia tidak mahu melepaskan peluang itu kerana dia tahu ayahnya terpaksa melalui pelbagai kesukaran untuk sampai ke sini. Selepas ini, dia hanya berpeluang untuk bersama-sama ayahnya pada cuti pertengahan semester nanti. Dan, tempoh itu dirasakannya terlalu lama.


****

Pada petang itu, Adiwati menjangkakan hanya Syaza dan beberapa orang teman sekelasnya sahaja yang datang, rupa-rupanya Cikgu Nabiha juga turut datang. Malah, yang agak mengejutkannya adalah kedatangan Farouq. Masing-masing membawa hadiah dan buah tangan, kecuali Farouq yang membawa sejambak bunga ros merah jambu. Serba salah juga dia mahu menerima bunga-bunga ros kuning segar yang dihulurkan kepadanya oleh Farouq, apatah lagi apabila diperhatikan oleh rakan-rakan dan guru-gurunya.
            Apabila diziarahi oleh teman-temannya, kesakitan yang sedang ditanggungnya seakan-akan lenyap. Dia tidak putus-putus menerima kata perangsang dan semangat daripada teman-temannya dan Cikgu Nabiha. Daripada cerita teman-temannya, dia mendapat tahu yang Adlina telah dipilih sebagai olahragawati kejohanan sukan kali ini setelah menjuarai semua acara larian yang disertainya. Demikian juga Farouq yang telah dinobatkan sebagai olahragawan sekolah.
            “Saya berharap kamu tidak akan pernah berasa kecewa dengan apa yang telah menimpa kamu. Anggaplah ini sebagai suatu ujian,” kata Cikgu Nabiha sambil menggenggam erat jari-jemari Adiwati. “Kamu kena kuat dan berjanjilah bahawa kamu akan bangkit selepas ini.”
            “Insya-Allah, cikgu. Terima kasih kerana memberikan dorongan kepada saya,” balas Adiwati. Dia dapat merasai kehangatan kasih sayang yang mengalir daripada jari-jemari Cikgu Nabiha.
           
            “Kami benar-benar terasa akan ketiadaan kamu di sekolah, Wati,” celah Huey Shyan. Ada mendung sugul pada wajahnya.
            “Jangan begitu, Huey Shyan. Saya tidak selama-lamanya di sini. Mungkin esok, mungkin lusa saya akan dibenarkan keluar dari wad ini.” Adiwati melemparkan senyuman kepada Huey Shyan yang duduk di birai katilnya. “Oh, ya! Bagaimanakah dengan perkembangan majalah kita?”
            “Engkau ni, Wati. Dalam keadaan macam ni pun kau masih teringat akan majalah sekolah?” ujar Syaza yang sibuk menyusun hadiah dan buah tangan untuk Adiwati di atas bersebelahan katil Adiwati.
            “Berehatlah dulu. Tenangkan fikiran. Setakat ini perkembangannya sangat positif. Begitu yang dimaklumkan oleh Cikgu Latifah kepada saya dan kawan-kawan kita,” jelas Huey Shyan.
            “Saya percaya, majalah itu pasti akan menjadi lebih hebat dengan sentuhan kamu, Adiwati,” tokok Cikgu Nabiha dengan nada keyakinan.
            “Tentulah hasilnya hebat. Maklumlah, editornya juga hebat!” sampuk Ravindran yang berdiri di sebelah Farouq.
            Itulah sebahagian daripada impiannya kini. Dia mahu majalah Suara Generasi habis dijual dalam setiap edisi terbitannya. Sebelum ini, tidak kurang daripada empat ratus naskhah majalah itu terjual dalam setiap keluarannya. Dan, keuntungan yang diperoleh nanti akan digunakan untuk membiayai program-program Kelab Majalah Sekolah selain daripada disalurkan kepada pihak sekolah. Tentu sekali keluaran pertama majalah itu akan menentukan kreadibilitinya sebagai editor. Memang ada perasaan gelisah yang mengombak di dalam dirinya.
            Dan, ketika rakan-rakannya serta Cikgu Nabiha telah pulang dengan menaiki bas sekolah, Faruoq masih berdiri di hujung katilnya. Adiwati tahu, tentu Farouq datang ke hospital itu sendirian; menunggang motosikal berkuasa besarnya.
             Walaupun sejak awal tadi dia kurang senang dengan kehadiran Farouq bersama-sama temannya yang lain, namun dia tidak sampai hati pula untuk menyuruh Farouq pulang.
            “Tahniah, Farouq,” ucap Adiwati. “Saya harap awak akan mengharumkan nama sekolah dalam kejohanan peringkat negeri pula.”
            Farouq tersenyum. Hambar. “Terima kasih, Wati.” Kemudian Farouq melepaskan keluhan yang agak berat pula. Dahinya berkerut. Dia menyisir-nyisir rambutnya ke belakang dengan menggunakan jari-jarinya.
            Sikap Farouq yang begitu tentu sahaja mengundang persoalan pada diri Adiwati. “Sepatutnya awak gembira, bukan?”
            “Saya akan lebih gembira jika awak yang menjadi olahragawatinya,” balas Farouq spontan sambil pandangan matanya meluru mencari sepasang mata bundar Adiwati. Adiwati tunduk apabila dipandang begitu.
            “Kenapa awak cakap macam tu?” Adiwati melontarkan pandangannya lewat jendela kaca yang masih tersingkap langsirnya. Renungan Farouq itu jika dilawan hanya akan mengundang debaran dalam dadanya.
            “Kerana ada orang lain yang lebih hebat, dan sepatutnya orang itu yang selayaknya berhak dimahkotakan gelaran itu.” Tanpa disuruh Farouq bergerak ke sisinya pula; menarik kerusi di sebelah katil Adiwati lalu melabuhkan punggungnya.
            “Itu hanya anggapan awak, Farouq. Walaupun pada hakikatnya saya berasa sedih dan kecewa, tetapi apakah upaya saya? Saya reda, Farouq.” Sorot pandangannya masih di luar, melihat telatah manusia yang masih lalu-lalang di sekitar kawasan hospital itu.
            “Kejayaan itu hanya menjadikan dirinya bertambah ego dan angkuh, Wati. Saya percaya awak tentu lebih maklum tentang hal itu.”
            Ah, Farouq! Bukankah gadis itu yang sebelum ini membontoti kamu ke mana sahaja kamu pergi? Dan, bukankah kamu dengan dia merupakan pasangan yang paling cocok di sekolah serta menjadi buah mulut dalam kalangan pelajar dan guru?
            “Saya tidak tahu bila dia akan berubah,” luah Farouq lagi.
            “Bersabarlah, Farouq. Sampai saat dan ketikanya, dia pasti akan berubah.” Walaupun pada hakikatnya Adlina sering sahaja menyakiti hati dan perasaannya, tidak ada pun sekelumit dendam di dalam hatinya. Baginya, itulah asam garam kehidupan sebagai seorang pelajar.
            Ketika Farouq telah pulang, Adiwati mengambil kuntuman ros kuning yang diletakkan di sisi bantal. Dia membelek-belek bunga-bunga ros itu. Dan, di dalam hatinya berdetik, apakah maksud kuntuman ros kuning pemberian Farouq itu.

Tidak ada komentar: