BAB 4: JUARA YANG TEWAS
Segala persiapan untuk kejohanan sukan SMK Cahaya
Baharu telah siap diatur. Beberapa buah
balai telah didirikan; ada tujuh balai kanopi. Empat daripadanya ialah balai
rumah sukan yang bertanding – Temenggung, Bendahara, Laksamana dan Syahbandar.
Tiga buah balai lagi merupakan balai untuk petugas-petugas khas, balai peserta
dan balai untuk rawatan kecemasan. Seminggu sebelum kejohanan itu berlangsung,
para ahli rumah sukan sibuk menghias balai dengan kreativiti masing-masing.
Sekumpulan pelajar telah dipilih untuk membantu guru-guru mempersiap astaka
yang akan dijadikan tempat tetamu khas.
Adiwati
tidak terkecuali. Walaupun agak sibuk menjalani latihan untuk mengembalikan
kecergasannya, dia masih punya kesempatan untuk membantu rakan-rakannya. Malah,
dia turut melontarkan pandangan dan pendapat tentang konsep hiasan rumah
Temenggung. Syaza tidak membantunya kerana telah diarahkan oleh guru untuk
menghiaskan astaka.
Adiwati
sedar, kesungguhannya untuk bersaing dalam kejohanan sukan kali ini mengundang
ejekan dan cemuhan yang berterusan daripada Adlina. Malah, setiap kali dia
berlatih dalam acara lari 100m dan 200m Adlina akan berada berhampiran trek
untuk meengganggunya.
Ketika
dia sedang berehat di dalam balai sambil meminum sebotol air mineral yang
dibekalkan oleh guru rumah sukannya, dia dihampiri oleh Farouq; pelajar
tingkatan lima sains yang disebut-sebut bakal menjadi olahragawan sekolah tahun
berdasarkan masa yang dicatatkannya dalam acara 100m dan 200m pada sesi
latihan. Adiwati kelihatan agak serba salah apabila Farouq menarik sebuah
bangku kosong lalu duduk di sebelahnya tanpa menghiraukan beberapa orang
pelajar di situ yang memerhatikan gelagatnya.
“Penat?
Sejak tadi saya tengok awak sibuk,” sapa Farouq sambil melemparkan senyuman
kepada Adiwati.
Adiwati
sekadar mengangguk. Matanya meliar ke arah padang yang masih sibuk; ramai
pelajar bertungkus-lumus menyiapkan tugasan masing-masing. Begitu juga dengan
para guru yang kelihatan bersungguh-sungguh menjalankan tugas yang diamanahkan
di samping memberikan arahan dan tugasan kepada para pelajarnya. Suasana di
padang masih meriah.
“Kenapa
awak sentiasa menjauhkan diri daripada saya? Adakah saya telah melakukan
kesalahan?” soal Farouq – mencuri pandang ke arah Adiwati.
“Awak
ada jawabannya, Farouq. Awak tahu tentang itu atau sengaja buat-buat tidak
tahu?” balas Adiwati. Jengkel.
“Fasal
hal itu?” Farouq ketawa. Agak kuat sehingga menarik perhatian beberapa orang
rakan sepasukan Adiwati. Apabila menyedari gelagatnya sedang diperhatikan,
Farouq segera menekup mulutnya dengan tangan.
Adiwati
mendegus. Geram benar dia melihat telatah Farouq. Perkara yang serius pun dia
boleh ketawa.
“Takut?”
tanya Farouq lagi. “Bukankah saya telah jelaskan kepada awak sejak awal lagi
bahawa tiada sesiapa pun yang berhak mencampuri urusan peribadi saya,” tegas
Farouq.
Jika
diturutkan hatinya, mahu sahaja disumbatkan botol mineral yang digenggamnya itu
ke mulut Farouq. Ah, lelaki ini! Ego dan terlalu mementingkan diri sendiri.
Rungut Adiwati.
Farouq
Arasy. Nama pelajar yang sering meniti di bibir pelajar-pelajar SMK Cahaya
Baharu, khususnya dalam kalangan pelajar perempuan. Bukan sahaja kerana
ketampanan remaja berdarah kacukan Melayu dan India itu, tetapi kerana
kecemerlangannya dalam pelbagai bidang di sekolah itu. Malah kerana kekayaannya
juga. Ayahnya mempunyai kilang memproses kayu balak dan syarikat pembinaan yang
terkemuka di bandar Mersing. Ibunya pula seorang peguam yang sangat dihormati.
Siapakah yang tidak mengenali pasangan Datuk Farhan dan Datin Aisyah Kaur?
Pasangan yang sangat berpengaruh di daerah itu.
Farouq
menyikat-nyikat rambutnya yang ikal dengan jari-jarinya. Riak wajahnya
kelihatan kecewa melihat tindak balas daripada Adiwati itu. Dingin. Beku.
“Niat
saya ikhlas, Wati. Saya cuma mahu menjadi salah seorang daripada sahabat baik
awak. Adakah itu suatu dosa?” Nada suara Farouq kian mengendur.
“Farouq,
saya tidak menafikan yang awak benar-benar ikhlas mahu berkawan dengan saya.
Tetapi, awak mesti faham situasi saya. Saya tak mahu pisang berbuah dua kali!”
ujar Adiwati. Kali ini dia berani memandang dan bertentang mata dengan
Farouk. “Saya tidak mahu memburukkan
lagi keadaan yang sudah sedia teruk.”
“Adlina?”
ujar Farouk sinis. “Apa hak dan kuasa dia untuk menghalang awak berkawan dengan
saya? Ini soal peribadi saya.”
“Ya,
saya tahu!” bentak Adiwati. "Masalahnya, disebabkan soal peribadi awak
itulah saya yang menjadi mangsa cacian dan sumpah-seranahnya. Awak faham?” Jika
boleh, Adiwati tidak mahu melanjutkan perbualannya dengan Farouk. Cukuplah
sekali dia diserang oleh Adlina hanya disebabkan perkara yang agak mengarut
pada fikirannya.
Buat
masa ini, dia tidak berminat untuk menjalinkan hubungan yang serius dengan
mana-mana pelajar lelaki. Sungguh-sungguh. Baginya, perkara yang bersifat
peribadi dalam hidupnya sekarang ialah dirinya, keluarganya dan dunianya. Itu
sahaja.
“Walau
apapun alasan awak, saya tetap tidak akan berputus asa, Wati. Saya percaya,
jika kita melakukan sesuatu perkara itu dengan niat yang baik, pasti kita akan
mendapat hasil yang baik,” kata Farouk.
Adiwati
hanya mengangkat kedua-dua bahunya. Dan, dia menarik nafas lega apabila Cikgu
Saidi meniup wisel beberapa kali dan memanggilnya supaya berada di balapan
untuk latihan lari berganti-ganti 4 x 100m. Dia akan diletakkan sebagai pelari
yang terakhir bergandingan dengan Salbiah, Manisah dan Letchumy. Tahun ini dia
bergandingan dengan pelari-pelari pecut yang baharu.
“Saya
masuk ke padang dulu. Cikgu Saidi dah panggil saya,” ujar Adiwati dan berlalu
meninggalkan Farouk termangu-mangu sendirian di situ.
Walaupun
tumpuan pada petang itu agak terganggu, Adiwati tetap berusaha untuk memberikan
aksi yang terbaik dalam latihannya. Dia berlari sederas yang mungkin
seolah-olah untuk melepaskan apa-apa yang terbuku dan bersarang di dalam
hatinya. Sorakan dan jeritan rakan-rakan sepasukan menyemarakkan keazamannya
lagi. Dia tidak boleh tewas!
****
Ketika segala-galanya kelihatan berjalan dengan
baik dan lancar, Adiwati langsung tidak menduga bahawa semuanya akan berakhir
dengan tragedi. Bukan setakat tewas, malah dia terpaksa dikejarkan ke hospital
kerana kakinya terseliuh lagi. Betapa kain pembalut yang digunakan untuk
membalut buku lalinya gagal untuk melindungi kakinya kali ini.
Dia
dihantar ke Hospital Mersing oleh Cikgu Saidi dan Cikgu Mazlina serta ditemani
oleh Syaza. Kali ini, dia terpaksa ditahan di wad kerana doktor yang
memeriksanya mendapati tisu pada bahagian buku lalinya telah koyak. Doktor
telah memberikannya suntikan di samping beberapa jenis ubat yang perlu dimakan.
Cikgu
Saidi dan Cikgu Mazlina berada di hospital itu sehingga urusan kemasukan
Adiwati ke dalam wad selesai.
“Mengapakah
kamu terlalu memaksa diri, Adiwati?” tanya Cikgu Mazlina lembut. Dia duduk di
sebuah kerusi plastik yang disediakan di sebelah katil Adiwati. Cikgu Saidi dan
Syaza pula berdiri di sebelah katil Adiwati.
“Maafkan
saya, cikgu. Saya fikir kecederaan saya
tidak terlalu serius dan saya masih boleh berlari seperti biasa,” jawab
Adiwati. Dahinya kelihatan berkerut menahan sakit.
“Kalau
saya dan Cikgu Saidi tahu bahawa kamu belum sembuh sepenuhnya, kami tidak akan
benarkan kamu menyertai kejohanan sukan tahunan ini,” ujar Cikgu Mazlina.
Kesakitan yang sedang ditanggung oleh Adiwati mengundang perasaan simpatinya.
Adiwati
diam. Kali ini dia mengakui akan kesalahannya. Malah, perkara itu sebenarnya
turut dirahsiakan daripada pengetahuan Syaza. Jika dia memberitahu situasi yang
sebenarnya, sudah tentu hasratnya akan dihalang sejak awal lagi.
“Saya
tahu gelaran “Ratu Pecut” ini sangat penting bagi kamu. Tetapi, kesihatan kamu
lebih penting, Adiwati. Dan, saya percaya jika kamu telah sembuh sepenuhnya
daripada kecederaan yang lalu, saya pasti jawatankuasa olahraga sekolah akan
mempertimbangkan kamu untuk mewakili sekolah dalam kejohanan olahraga peringkat
daerah secara automatik kerana kamu merupakan pemegang rekod 100m dan 200m
daerah tahun lalu,” kata Cikgu Saidi. Dia berasa agak terkilan dengan sikap
Adiwati. Tetapi itulah Adiwati. Semangatnya terlalu kental dan waja.
“Saya
cuma mahu bersaing secara adil, Cikgu Saidi, Cikgu Mazlina,” balas Adiwati;
memandang wajah Cikgu Saidi dan Cikgu Mazlina. “Saya tidak mahu merampas hak
orang lain.”
“Tetapi,
kamu juga yang menanggung akibatnya, Adiwati,” ujar Cikgu Mazlina.
“Tidak
mengapalah, cikgu. Saya reda dengan apa yang menimpa diri saya. Sekurang-kurangnya,
saya telah berusaha untuk membuktikan sesuatu.” Walaupun kegagalan itu sesuatu
yang amat pahit untuk ditelan dan terpaksa menanggung penderitaan pula, Adiwati
tetap berasa puas. “Terima kasih, cikgu kerana sudi menghantar saya ke hospital
dan mengambil berat tentang diri saya.”
Cikgu
Mazlina dan Cikgu Saidi senyum. Walaupun berasa sedih dengan peristiwa yang
menimpa Adiwati, mereka tetap berasa bangga dengan semangat kesukanan yang
ditunjukkan oleh Adiwati. Dan, mereka juga perlu menerima hakikat bahawa untuk
kejohanan sukan tahunan kali ini, rumah Temenggung telah kehilangan tiga emas!
Terkedang
sendirian di atas katil di dalam wad itu membuatkan dirinya berasa begitu jauh
daripada keriuhan dan kerenah teman-teman sekelasnya. Mujurlah dia telah selesai
memilih karya-karya pelajar yang layak
untuk dimuatkan dalam majalah Suara Generasi. Jika tidak, pasti
kerja-kerjanya akan tertunda lagi.
Di dalam Wad Melur, hanya ada lapan orang
pesakit daripada enam belas buah katil yang terdapat di situ. Dia diletakkan di
katil yang yang paling hujung; bersebelahan dinding. Ketika melihat beberapa
orang pesakit di dalam wad itu dilawati oleh ahli keluarga dan sahabat-handai,
kesunyian tiba-tiba sahaja menghambat dirinya. Pergerakannya juga agak terbatas
kerana bahagian buku lalinya berbalut. Dia terpaksa menggunakan tongkat untuk
menyokong pergerakannya.
Semalaman
di wad itu, Adiwati berasa agak selesa kerana mendapat layanan yang baik
daripada jururawat-jururawat yang bertugas di
situ. Segala keperluan dan kehendaknya diladeni dengan sebaik-baiknya.
Walaupun terpaksa melayani kerenah pesakit-pesakit di situ, ternyata
jururawat-jururawat yang kebanyakannya masih muda itu tetap menjalankan
tugasnya dengan sabar.
Pada
waktu pagi, suasana di dalam wad agak sibuk; para jururawat memberikan
ubat-ubatan kepada para pesakit. Ada juga jururawat yang membantu pesakit
membersihkan diri dan menukar kain cadar yang kotor. Pekerja-pekerja am
hospital pula sibuk membersihkan dan mengemop lantai wad.
Selepas
membersihkan dirinya, Adiwati duduk sambil menyandarkan badannya yang dilapik
dengan bantal pada birai katil – kedua-dua belah kakinya dilunjurkan. Dia
sempat mengambil beberapa naskhah majalah yang diletakkan di rak di suatu sudut
bersebelahan meja jururawat. Dia tidak suka masanya terbuang begitu sahaja.
Syaza
ada memberitahunya semalam bahawa dia dan beberapa orang rakan sekelasnya ada
datang melawatinya petang nanti – jika mendapat pelepasan daripada warden.
Syaza akan membawakannya beberapa buah buku rujukan untuk dibacanya. Dia
mungkin akan berada di wad itu dua atau tiga hari lagi setelah doktor berpuas
hati dengan tahap pemulihan buku lalinya.
Dia
teringat akan ayahnya di kampung. Bukan dia tidak boleh menghubungi telefon
genggam ayahnya, tetapi dia tidak mahu ayahnya bersusah hati jika mengetahui
dia dimasukkan ke wad. Dia juga tidak mahu ayahnya bersusah payah untuk datang
melawatinya di situ. Dia kenal amat dengan perangai ayahnya.
Ketika
dia sedang menikmati makan tengah hari dengan hidangan yang sekadarnya,
sepasang matanya seolah-olah melekat pada dua susuk tubuh yang sedang
menghampirinya – amat dikenalinya. Hampir-hampir sahaja pinggan yang
dilepaskannya terlepas.
Benarkah
apa yang dilihatnya? Jika benar, siapakah yang memberitahu mereka? Sebak menghurung
dada. Dia meletakkan pinggan yang sedang dipegangnya di atas meja kecil yang
diletakkan di sebelah katilnya. Dengan debar, dia menanti kedua-duanya.
Sebaik-baik
sahaja lelaki yang sedang disorong menaiki kerusi roda itu berada betul-betul
berada di sisi katilnya, Adiwati segera bersalam-salaman dengannya lalu
mendakapnya. Empangan air matanya runtuh juga. Betapa dia benar-benar berasa
terharu dengan kehadiran ayahnya.
Masih
tiada kata-kata yang mampu lahir daripada bibir Adiwati. Perasaannya masih dikepung
perasaan sebak dan terharu.
“Ayah
dapat tahu daripada cikgu Wati yang menelefon ayah semalam. Mujurlah ada Ucin
yang sanggup menghantar ayah ke mari,” jelas ayahnya seraya mengelap matanya
yang merah dengan sehelai sapu tangan; meleraikan dakapannya.
“Wati
tak mahu susahkan ayah. Bukan senang nak datang ke sini,” balas Adiwati –
menyeka air matanya dengan hujung lengan baju hospital berwarna hijau yang
tersarung di tubuhnya sejak semalam. “Terima kasih, Ucin,” ucap Adiwati sambil
memandang ke arah Ucin yang masih berdiri di belakang kerusi roda ayahnya.
“Tidak
mengapalah, Wati. Ayah kau begitu bimbang sebaik-baik sahaja menerima panggilan
telefon dari sekolah. Aku pula tidak terlalu sibuk. Jadi, aku hantarlah ayah
kau ke sini,” jawab Ucin. Tersenyum.
Ayah
Adiwati mengeluarkan dua bungkusan daripada beg kain yang dibawanya. “Ini ayah
bawakan ayam denak panggang. Ucin yang meraciknya semalam. Ayah tahu kamu suka
ayam denak panggang,” kata ayahnya. Adiwati menyambut bungkusan upih berisi
ayam denak panggang itu. Walaupun bungkusan itu masih berikat kemas, tetapi
aroma enak ayam denak panggang itu lolos juga menerjah hidungnya.
Kemudian
ayahnya menghulurkan satu lagi bungkusan upih. “Ini nasi yang ayah masak dalam
buluh. Kalau Wati lapar nanti, makanlah.”
Dalam
keadaan begitu, tiada kalimat yang terungkap daripada mulutnya. Hanya jernih
air mata yang menuruni cerun-cerun pipinya yang gebu dan mulus sebagai
jawabannya.
“Kaki
kamu bagaimana, Wati?” tanya ayahnya lembut sambil mengusap-usap hujung kakinya.
Adiwati
menyeka air matanya lagi. Dia malu lagi untuk menangis. Biarlah Ucin
melihatnya. Biarlah Ucin tahu perasaannya pada kala itu.
“Masih
sakit lagi, ayah,” jawab Adiwati dalam suara yang tersekat-sekat. “Hanya
sakitnya sudah agak kurang selepas memakan ubat-ubatan yang diberikan oleh
doktor.”
Ayahnya
terangguk-angguk. “Mengapakah sampai jadi begini, Wati? Tak salah kalau Wati
mahu mencuba. Tapi jangan terlalu mencuba. Selepas ini, sebelum membuat sesuatu
keputusan, fikirlah sedalam-dalamnya. Ayah bukan apa, Watilah satu-satunya
zuriat ayah. Ayah tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada Wati,” ujar
ayahnya lembut.
“Maafkan
Wati, ayah. Mungkin pada waktu itu Wati terlalu mengikutkan perasaan sehingga
mengabaikan keadaan diri Wati sendiri. Insya-Allah, selepas ini Wati akan
berhati-hati.”
Lelaki
yang sedang duduk di kerusi roda di sebelahnya itu tersenyum. Ucin yang sejak
tadi berdiri melabuhkan punggungnya di kerusi plastik yang disediakan di situ.
Inilah kali pertama Adiwati melihat Ucin berpakaian kemas – mengenakan kemeja
lengan pendek berkotak-kotak dan seluar panjang berwarna hitam. Rambutnya
walaupun tidak lurus disisir rapi.
“Ucin,
terima kasih kerana sudi hantar ayah aku ke sini. Maafkan aku kalau aku
menyusahkan kau,” ucap Adiwati sambil melirih ke arah Ucin.
“Tidak
ada yang susahnya, Wati. Kalau kau berada di tempat aku, aku percaya kau juga
akan melakukan perkara yang sama,” balas Ucin sambil tersenyum.
Entah
mengapa, dalam keadaan begitu tiba-tiba terbit keinginannya untuk segera
kembali ke Kampung Kelisa – menikmati keindahan alam dan kedinginan air terjun
di Lata Kelisa. Duduk di atas bongkah batu sambil melihat kanak-kanak di situ
bermandi-manda; mendengar nyanyian unggas; menikmati alunan irama rimba yang
tenang lagi mendamaikan.
“Bagaimanakah
pelajaran kamu, Wati?” soal ayahnya, menggugah lamunan Adiwati.
“Setakat
ni bagus, ayah. Cuma awal tahun ni
banyak kerja-kerja yang perlu Wati selesaikan. Kerja sekolah, aktiviti
kokurikulum dan majalah sekolah,” jawab Adiwati. Kali ini suaranya agak ceria.
“Majalah
sekolah? Apakah tugas Wati?”
“Editor,
ayah. Pada mulanya, Wati menolak, tapi...”
Ayahnya
mengulum senyum. “Kenapa nak tolak? Elok
sangatlah tu.”
“Tugasnya
rumit sedikit.”
“Tak
mengapa. Belajarlah melalui kesulitan semasa kamu masih muda remaja, Wati.
Lama-lama nanti, kamu akan biasa dengannya,” kata ayahnya – meniupkan semangat
dan keyakinannya.
“Betul
kata ayah kau, Wati. Kau memang mempunyai bakat dan kebolehan dalam bidang ini.
Aku harap kau akan terus menekuninya,” sokong Ucin yang sejak tadi hanya
menjadi pemerhati perbualan dua beranak itu.
“Yakah?
Atau kau sahaja hendak mengambil hati aku, Ucin?” usik Adiwati.
“Itulah
kenyataannya. Bukankah semasa di sekolah rendah dulu kau yang sering mendapat
markah tertinggi dalam mata pelajaran Bahasa Penulisan dan Bahasa Inggeris?
Cikgu selalu memuji-muji karangan kamu,” ujar Ucin.
“Itu
dulu, Ucin. Sekarang semuanya telah berubah. Di sekolah tu, lebih ramai yang
berkebolehan dan lebih pintar daripada aku,” luah Adiwati. Jika boleh, dia mahu meluahkan semua yang dilaluinya
kepada Ucin. Tetapi, keadaan membataskan segala-galanya. Apatah lagi di hadapan
ayahnya sendiri, tentu kurang tidak manis.
“Aku
sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kau, Wati. Aku percaya kau mampu melakukan
sesuatu yang boleh dijadikan kebanggaan penduduk di kampung kita.”
Harapan
ayahnya; harapan ibunya; harapan Ucin; harapan penduduk-penduduk Kampung
Kelisa; semuanya seolah-olah tergalas di pundak kini. Kadang-kadang dia
terfikir, mampukah dia menggalas harapan itu? Bagaimanakah jika dia tersungkur?
Dia tidak berani untuk meramalkannya.
“Kau
mesti membuktikan sesuatu, Wati,” ujar Ucin sebelum dia bersama-sama ayahnya
pulang disebabkan waktu melawat pada tengah hari itu telah tamat.
Dia
mengiringi ayahnya hingga ke pintu keluar wad walaupun ayahnya beberapa kali
melarang kerana terlalu bimbang akan keadaan kakinya itu. Tetapi dia berkeras
juga. Dia tidak mahu melepaskan peluang itu kerana dia tahu ayahnya terpaksa
melalui pelbagai kesukaran untuk sampai ke sini. Selepas ini, dia hanya
berpeluang untuk bersama-sama ayahnya pada cuti pertengahan semester nanti.
Dan, tempoh itu dirasakannya terlalu lama.
****
Pada petang itu, Adiwati menjangkakan hanya Syaza
dan beberapa orang teman sekelasnya sahaja yang datang, rupa-rupanya Cikgu
Nabiha juga turut datang. Malah, yang agak mengejutkannya adalah kedatangan
Farouq. Masing-masing membawa hadiah dan buah tangan, kecuali Farouq yang
membawa sejambak bunga ros merah jambu. Serba salah juga dia mahu menerima
bunga-bunga ros kuning segar yang dihulurkan kepadanya oleh Farouq, apatah lagi
apabila diperhatikan oleh rakan-rakan dan guru-gurunya.
Apabila
diziarahi oleh teman-temannya, kesakitan yang sedang ditanggungnya seakan-akan
lenyap. Dia tidak putus-putus menerima kata perangsang dan semangat daripada
teman-temannya dan Cikgu Nabiha. Daripada cerita teman-temannya, dia mendapat
tahu yang Adlina telah dipilih sebagai olahragawati kejohanan sukan kali ini
setelah menjuarai semua acara larian yang disertainya. Demikian juga Farouq
yang telah dinobatkan sebagai olahragawan sekolah.
“Saya
berharap kamu tidak akan pernah berasa kecewa dengan apa yang telah menimpa
kamu. Anggaplah ini sebagai suatu ujian,” kata Cikgu Nabiha sambil menggenggam
erat jari-jemari Adiwati. “Kamu kena kuat dan berjanjilah bahawa kamu akan
bangkit selepas ini.”
“Insya-Allah,
cikgu. Terima kasih kerana memberikan dorongan kepada saya,” balas Adiwati. Dia
dapat merasai kehangatan kasih sayang yang mengalir daripada jari-jemari Cikgu
Nabiha.
“Kami
benar-benar terasa akan ketiadaan kamu di sekolah, Wati,” celah Huey Shyan. Ada
mendung sugul pada wajahnya.
“Jangan
begitu, Huey Shyan. Saya tidak selama-lamanya di sini. Mungkin esok, mungkin
lusa saya akan dibenarkan keluar dari wad ini.” Adiwati melemparkan senyuman
kepada Huey Shyan yang duduk di birai katilnya. “Oh, ya! Bagaimanakah dengan
perkembangan majalah kita?”
“Engkau
ni, Wati. Dalam keadaan macam ni pun kau masih teringat akan majalah sekolah?”
ujar Syaza yang sibuk menyusun hadiah dan buah tangan untuk Adiwati di atas
bersebelahan katil Adiwati.
“Berehatlah
dulu. Tenangkan fikiran. Setakat ini perkembangannya sangat positif. Begitu
yang dimaklumkan oleh Cikgu Latifah kepada saya dan kawan-kawan kita,” jelas
Huey Shyan.
“Saya
percaya, majalah itu pasti akan menjadi lebih hebat dengan sentuhan kamu,
Adiwati,” tokok Cikgu Nabiha dengan nada keyakinan.
“Tentulah
hasilnya hebat. Maklumlah, editornya juga hebat!” sampuk Ravindran yang berdiri
di sebelah Farouq.
Itulah
sebahagian daripada impiannya kini. Dia mahu majalah Suara Generasi habis
dijual dalam setiap edisi terbitannya. Sebelum ini, tidak kurang daripada empat
ratus naskhah majalah itu terjual dalam setiap keluarannya. Dan, keuntungan
yang diperoleh nanti akan digunakan untuk membiayai program-program Kelab
Majalah Sekolah selain daripada disalurkan kepada pihak sekolah. Tentu sekali
keluaran pertama majalah itu akan menentukan kreadibilitinya sebagai editor.
Memang ada perasaan gelisah yang mengombak di dalam dirinya.
Dan,
ketika rakan-rakannya serta Cikgu Nabiha telah pulang dengan menaiki bas
sekolah, Faruoq masih berdiri di hujung katilnya. Adiwati tahu, tentu Farouq
datang ke hospital itu sendirian; menunggang motosikal berkuasa besarnya.
Walaupun sejak awal tadi dia kurang senang
dengan kehadiran Farouq bersama-sama temannya yang lain, namun dia tidak sampai
hati pula untuk menyuruh Farouq pulang.
“Tahniah,
Farouq,” ucap Adiwati. “Saya harap awak akan mengharumkan nama sekolah dalam
kejohanan peringkat negeri pula.”
Farouq
tersenyum. Hambar. “Terima kasih, Wati.” Kemudian Farouq melepaskan keluhan
yang agak berat pula. Dahinya berkerut. Dia menyisir-nyisir rambutnya ke
belakang dengan menggunakan jari-jarinya.
Sikap
Farouq yang begitu tentu sahaja mengundang persoalan pada diri Adiwati.
“Sepatutnya awak gembira, bukan?”
“Saya
akan lebih gembira jika awak yang menjadi olahragawatinya,” balas Farouq
spontan sambil pandangan matanya meluru mencari sepasang mata bundar Adiwati.
Adiwati tunduk apabila dipandang begitu.
“Kenapa
awak cakap macam tu?” Adiwati melontarkan pandangannya lewat jendela kaca yang
masih tersingkap langsirnya. Renungan Farouq itu jika dilawan hanya akan
mengundang debaran dalam dadanya.
“Kerana
ada orang lain yang lebih hebat, dan sepatutnya orang itu yang selayaknya
berhak dimahkotakan gelaran itu.” Tanpa disuruh Farouq bergerak ke sisinya
pula; menarik kerusi di sebelah katil Adiwati lalu melabuhkan punggungnya.
“Itu
hanya anggapan awak, Farouq. Walaupun pada hakikatnya saya berasa sedih dan
kecewa, tetapi apakah upaya saya? Saya reda, Farouq.” Sorot pandangannya masih
di luar, melihat telatah manusia yang masih lalu-lalang di sekitar kawasan
hospital itu.
“Kejayaan
itu hanya menjadikan dirinya bertambah ego dan angkuh, Wati. Saya percaya awak
tentu lebih maklum tentang hal itu.”
Ah,
Farouq! Bukankah gadis itu yang sebelum ini membontoti kamu ke mana sahaja kamu
pergi? Dan, bukankah kamu dengan dia merupakan pasangan yang paling cocok di
sekolah serta menjadi buah mulut dalam kalangan pelajar dan guru?
“Saya
tidak tahu bila dia akan berubah,” luah Farouq lagi.
“Bersabarlah,
Farouq. Sampai saat dan ketikanya, dia pasti akan berubah.” Walaupun pada
hakikatnya Adlina sering sahaja menyakiti hati dan perasaannya, tidak ada pun
sekelumit dendam di dalam hatinya. Baginya, itulah asam garam kehidupan sebagai
seorang pelajar.
Ketika
Farouq telah pulang, Adiwati mengambil kuntuman ros kuning yang diletakkan di
sisi bantal. Dia membelek-belek bunga-bunga ros itu. Dan, di dalam hatinya
berdetik, apakah maksud kuntuman ros kuning pemberian Farouq itu.