Selasa, 24 September 2013

Adiwati: Bab 2



BAB 2: DUGAAN DAN TAWARAN

Adiwati melontarkan pandangannya lewat jendela kamar asrama yang didiaminya sejak tingkatan satu. Sengaja dia membuka tingkap cermin itu luas-luas biar angin petang yang bertiup lolos dan bebas menyentuhi wajahnya. Nyaman dan tenang. Dari kamarnya yang terletak di aras tiga asrama puteri itu, dia melihat ke arah padang. Ramai pelajar yang sedang menjalani latihan olahraga.
            Adiwati mengusap-usap buku lalinya yang membengkak. Dia cuba menggerak-gerakkan kakinya, tetapi kesakitan seolah-olah telah menjarah buku lalinya – menjarem. Perlahan-lahan dia cuba bangun. Tetapi kesakitan yang amat memaksanya duduk kembali.
            Syaza, teman sebiliknya menyedari kesakitan yang sedang ditanggungnya. Novel remaja yang sedang dibacanya bagi mengisi masa senggang dicampakkan ke atas katil. Dia segera menghampiri Adiwati; duduk bersimpuh di sebelah Adiwati. Dia membelek-belek buku lali.
            “Kena ke klinik ni,” usul Syaza sebaik sahaja memeriksa buku lali Adiwati. “Kalau didemah belum tentu mahu surut,” tambah Syaza – menggunakan kemahiran yang dipelajarinya sebagai ahli Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).
            Ada riak risau pada wajah Adiwati. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu menyusahkan Cikgu Nabiha, warden asrama puteri. Mungkin ketika ini Cikgu Nabiha sedang bersiap-siap untuk berjoging di padang. Dia amat pasti kerana boleh dikatakan saban petang dia melihat Cikgu Nabiha berjoging di padang pada waktu seperti ini.
            “Kalau kau takut, biar aku yang berjumpa dengan Cikgu Nabiha,” tegas Syaza dan terus berlalu meninggalkan Adiwati yang memanggil namanya bertalu-talu. Adiwati menyandarkan tubuhnya pada kerusi plastik yang didudukinya sambil melunjurkan kakinya yang sakit – berdenyut-denyut seperti ada sesuatu yang sedang memamah buku lalinya.
            Kalau tidak kerana kecuaianku pasti kejadian ini tidak berlaku, rungut Adiwati. Gara-gara hendak cepat masuk ke kelas selepas loceng tamat waktu rehat menjerit nyaring, dia tergelincir di bilik air. Sudahlah begitu, dahinya terhantuk pula pada sinki ketika tangannya cuba berpaut di situ untuk mengelakkan tubuhnya  daripada jatuh tertiarap di bilik air. Ada kesan lebam di dahinya.
            Dia melihat kasut sekolahnya yang terletak bersebelahan pintu bilik asramanya. Sudah lebih setahun dia memakai kasut sekolah itu. Kainnya masih elok. Cuma tapaknya sahaja yang telah haus. Sememangnya dia bercadang untuk membeli sepasang kasut sekolah yang baharu tetapi dia belum berkesempatan untuk keluar ke bandar, Rutinnya terlalu padat sejak menjejakkan kaki ke sekolah itu semula dua minggu yang lalu.
            Lima belas minit kemudian, Syaza kembali.
            “Lekas tukar pakaian, Cikgu Nabiha tunggu kita di bawah,” arah Nazurah. Adiwati akur. Dia mengenakan baju T berlengan panjang dan seluar sukan panjang berwarna hitam. Syaza pula memakai baju kurung berwarna biru tua bercorak bunga-bunga.
            Sepanjang menuruni anak-anak tangga bangunan asrama itu, Syaza memapah Adiwati. Sesekali mereka berhenti apabila Adiwati menjerit kesakitan.
            “Bisanya, Syaza. Tak sangka pula jadi teruk sampai macam ni,” keluh Adiwati. Kesakitan itu benar-benar memamah buku lalinya.
            “Sabarlah, Wati,” pujuk Syaza. Insya-Allah, kaki kau ni akan pulih setelah dirawat oleh doktor nanti.”
            Persoalan yang bukan-bukan mula bertakung di benak Adiwati. Bagaimanakah jika kecederaan yang dialaminya itu lebih teruk daripada yang dijangkakan? Misalnya, tulangnya retak atau ototnya koyak. Tentu kecederaan itu akan mengambil masa yang panjang untuk pulih. Jika itu benar-benar terjadi, impiannya tentu berkubur! Noktah.
            Sebaik sahaja tiba di bawah, Cikgu Nabiha sedang menanti mereka sambil berdiri di sebelah kereta sambil melemparkan senyuman. Guru Bahasa Melayu yang berusia pertengahan 20-an itu kelihatan ayu mengenakan blaus berwarna merah jambu dan dipadankan dengan seluar panjang labuh.
            Cikgu Nabiha segera membantu Syaza memapah Adiwati masuk ke dalam perut kereta Proton Personanya – didudukkan Adiwati di tempat duduk belakang keretanya.
            “Kenapa baharu sekarang beritahu saya? Kalau awal sikit, tentu tidak melarat begini,” ujar Cikgu Nabiha seraya menghidupkan enjin keretanya.
            “Maafkan saya, cikgu. Saya fikir cedera biasa sahaja. Tak sangka jadi melarat sampai macam ni,” jawab Adiwati. “Tambahan pula, saya tidak mahu menyusahkan cikgu.”
            Cikgu Nabiha menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai warden di sini, Adiwati. Tidak ada yang susahnya.”
Cikgu Nabiha memandu keretanya dengan tenang. Pada waktu petang begitu, jalan raya menjadi agak sesak – masing-masing mahu sampai ke rumah dengan segera setelah seharian bekerja. Sejak ada beberapa buah kilang tekstil beroperasi di bandar itu dan ditambah pula dengan pembukaan sebuah pusat pengajian tinggi awam di situ, suasana bandar itu telah berubah. Kesesakan lalu lintas kerap kali berlaku.
Cikgu Nabiha memberhentikan keretanya di bahu bahu jalan berdekatan dengan sebuah klinik swasta. Pada waktu begini, klinik kesihatan kerajaan telah ditutup kecuali untuk kes-kes kecemasan sahaja. Mujur masih ada beberapa tapak parkir kereta yang kosong. Jika tidak, sudah pasti mereka akan berjalan kaki agak jauh untuk ke klinik itu.
Hanya ada dua orang pesakit sahaja yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan doktor di klinik itu. Urusan pendaftaran dilakukan oleh Cikgu Nabiha. Adiwati tidak betah untuk berdiri dalam keadaan kakinya yang bengkak begitu.
“Saya harap, kecederaan kamu akan sembuh dalam masa yang singkat. Jika tidak, kamu terpaksa melupakan hasrat untuk menyertai kejohanan olahraga sekolah yang akan berlangsung dua minggu lagi,” kata Cikgu Nabiha – bersimpati dengan nasib yang menimpa Adiwati.
Adiwati melepaskan keluhan berat. Syaza yang duduk di sebelah menepuk-nepuk bahunya. Dalam keadaan yang begitu, Adiwati memerlukan sokongan moral yang kuat.
“Itulah yang saya fikirkan, cikgu. Jika itu ketentuan-Nya, bermakna saya harus melepaskan gelaran olahragawati sekolah yang saya sandang tahun lalu kepada orang lain. Dan, saya juga harus bersedia untuk menerima hakikat bahawa saya tidak akan dapat bersaing dalam kejohanan peringkat daerah dan negeri,” jelas Adiwati.
“Bersabarlah, Wati. Inilah yang dinamakan dugaan. Kamu harus menerima takdir ini dengan hati yang terbuka.”
Adiwati angguk meskipun menyedari bahawa itulah hakikat yang amat pahit untuk ditelan. Syaza yang duduk di sebelahnya terus menguliti sebuah novel yang dipinjamnya daripada khutub khanah sekolah. Itulah hobinya. Jarang amat kelihatan dia berenggang dengan buku atau novel. Sesekali Syaza membetulkan kaca matanya. Dia tidak mahu mengganggu perbualan antara Adiwati dan Cikgu Nabiha.
Seorang pembantu klinik memanggil nama Adiwati supaya masuk ke dalam bilik rawatan. Cikgu Nabiha menemani Adiwati masuk ke dalam bilik rawatan itu sementara Syaza menunggu sahaja di luar. Doktor lelaki dalam lingkungan usia 40-an itu memeriksa buku lali Adiwati dengan teliti. Kemudian, dia mencadangkan kepada Cikgu Nabiha agar Adiwati menjalani ujian x-ray.
Adiwati sedikit tersentap. Dia memandang wajah Cikgu Nabiha yang lembut. Guru muda itu tersenyum.
“Bagaimana? Kamu setuju?” tanya Cikgu Nabiha.
“Tapi, cikgu….” Ada persoalan lain yang menggeluti fikirannya – kos rawatan yang perlu dijelaskannya.
“Soal bayaran? Tidak mengapa. Saya akan jelaskan dahulu. Kemudian, saya akan membuat tuntutan kepada Bahagian Kebajikan dan Hal Ehwal Pelajar. Kamu tidak perlu risau,” jelas Cikgu Nabiha.
Adiwati menarik nafas lega. “Terima kasih, cikgu.”
Dalam kalangan pelajar Asrama Puteri, Cikgu Nabiha memang terkenal dengan sikap tegasnya. Dia tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan yang tegas kepada pelajar-pelajar perempuan yang mengingkari peraturan asrama. Tidak ramai pelajar yang berani mendekati Cikgu Nabiha. Tetapi, pada petang itu Adiwati dapat melihat sisi yang berbeza tentang Cikgu Nabiha. Dia tersenyum.
Selepas membuat imbasan x-ray, doktor itu memberitahu bahawa tiada tulangnya yang retak. Hanya uratnya sahaja yang terseliuh. Dan, doktor itu mencadangkan Adiwati agar mendapatkan rawatan tradisional, iaitu berurut untuk membetulkan urat pada bahagian buku lalinya.
“Makan ubat yang saya beri mengikut jadual dan sukatan yang ditetapkan. Insya-Allah, buku lali kamu akan pulih dalam masa yang singkat. Tetapi buat masa ini, saya nasihatkan kamu agar tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang lasak,” pesan doktor itu.
“Baiklah, doktor. Terima kasih,” ucap Adiwati lalu keluar dari bilik rawatan itu dengan fikiran yang lapang. Cikgu Nabiha memapahnya dengan berhati-hati.
Mereka bertiga tidak terus pulang ke asrama. Cikgu Nabiha menawarkan khidmatnya untuk menghantar Adiwati ke sebuah kedai yang menjual pakaian sekolah. Walaupun pada peringkat awalnya Adiwati menolak, tetapi akhirnya dia mengalah setelah Cikgu Nabiha kelihatan begitu bersungguh-sungguh.
“Bukankah tapak kasut kamu telah haus? Elok beli sepasang kasut sekolah yang baharu,” kata Cikgu Nabiha. Senyum.
Pantas Adiwati mencubit lengan Syaza yang duduk di tempat duduk hadapan kereta. Dan, Syaza hanya ketawa melihat reaksi Adiwati. Memang dia yang memberitahu Cikgu Nabiha akan hal yang sebenarnya – perihal kasut sekolah Adiwati yang telah haus tapaknya.
Setelah mendapatkan saiz kasut daripada Adiwati, Cikgu Nabiha keluar dari keretanya dan berjalan menuju ke kedai itu. Dari dalam kereta, Adiwati melihat seorang pelayan kedai itu menyambut Cikgu Nabiha dengan senyuman dan mereka kelihatan berbual-bual mesra; barangkali mereka saling mengenali antara satu sama lain.
“Malulah aku, Syaza. Aku belum keluarkan duit lagi dari bank.” Adiwati meluahkan perasaan yang membuku di hatinya. “Takkan aku nak berhutang dengan Cikgu Nabiha?”
“Apa yang nak dimalukan? Sepatutnya kau bersyukur kerana kita mempunyai cikgu yang baik hati seperti Cikgu Nabiha tu. Walaupun cengih, tetapi amat mengambil berat akan kebajikan pelajar-pelajar di bawah jagaannya,” kata Syaza seraya menutup novel yang dibacanya.
“Aku bercadang hendak membeli kasut itu sendiri minggu depan,” jelas Adiwati.
Syaza tersengih. “Dengan kaki kau yang macam ni? Dahlah, jangan difikirkan sangat. Kalau kau sudah keluarkan duit nanti, bayarlah.”
Adiwati mengetapkan bibirnya lalu menghela nafas dalam-dalam.

* * * *

Berita itu tersebar dengan cepat dan menjadi buah mulut pula dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cahaya Baharu, Mersing. Ada yang bersimpati akan malang yang menimpa Adiwati. Ada pula yang berpendapat ketiadaan Adiwati dalam kejohanan olahraga sekolah nanti merupakan peluang untuk mereka mencatatkan nama sebagai atlet terhebat – bakal bergelar olahragawati yang baharu.
            Sindiran Adlina di kantin pada waktu rehat tadi benar-benar memedihkan hatinya. Dia tidak menafikan, sejak tingkatan satu lagi Adlina merupakan pesaingnya dalam bidang sukan. Tetapi, dia tidak pernah menganggap gadis remaja bertubuh sasa itu sebagai seteru. Ah, tetapi gadis itu selalu sahaja mencari jalan untuk menyakiti hatinya!
            “Nampaknya, kuda kesayangan sekolah ini sudah tempang kakinya. Kasihan,” ujar Adlina yang berdiri di sebelahnya sambil berpeluk tubuh dan kemudiannya mencebik-cebikkan bibir. Kata-kata itu disambut pula oleh gelak ketawa kawan-kawan baik Adlina.
            “Tahun yang sepatutnya menjadi tahun yang gemilang buat kau, akhirnya berubah menjadi tahun yang malang. Sungguh tragis sekali,” tambah Adlina lagi. Dia seolah-olah belum puas untuk menyakiti hati Adiwati.
            Adiwati berhenti menyuap mi goreng ke dalam mulutnya. Dia memandang tepat wajah Adlina. Matanya tidak berkelip. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menyumbatkan sudu dan garfu yang sedang dipegangnya ke dalam mulut celopar Adlina. Tetapi Syaza yang duduk di sebelahnya menggenggam kuat lengannya.
            “Jangan bersikap macam budak-budak, Wati. Biarkan saja,” bisik Syaza ke telinganya.
            “Selamat tinggal, kuda tempang! Jangan bermain di dalam bilik air lagi, ya. Nanti tempang pula sebelah kaki lagi,” sindir Adlina dan kemudiannya berlalu bersama-sama kawannya.
            Syaza yang menjadi saksi peristiwa itu hanya mampu menggelengkan kepalanya beberapa kali. Adiwati pula hanya tunduk. Seleranya untuk terus menikmati mi goreng itu tiba-tiba menjadi tumpul. Dia berasa malu apabila dihina begitu di depan pelajar-pelajar lain di kantin.
            “Sabarlah, Wati,” bujuk Syaza. “Memang begitu fiilnya. Entah bila akan berubah. Angkuh…ego.”
            Adiwati melepaskan keluhan yang berat. “Aku tidak pernah berniat untuk bermusuh dengan sesiapapun, Syaza. Malah, jauh sekali ingin bermegah-megah dengan apa-apa yang aku miliki. Tetapi kenapa dia memusuhi aku? Apakah kelebihan ini suatu dosa?”
            Syaza membatukan diri. Dia merenung gelas plastik kosong yang dipegangnya. Dia menjadi rakan sebilik dengan Adiwati kira-kira setahun yang lalu, setelah Marina, teman sebilik Adiwati semenjak tingkatan satu berjaya menempatkan diri ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di selatan tanah air. Pada awalnya, dia berulang alik dari kampungnya yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sekolah itu. Kampungnya terletak di kawasan yang agak terpencil di daerah Endau – perkhidmatan bas awam juga tidak tentu jadual perjalanannya. Ada kalanya, dia terpaksa menggunakan khidmat kereta sapu dan terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih untuk ke sekolah. Dia berasa lega apabila permohonannya untuk menginap di asrama diterima.
            Selepas memasukkan pinggan dan gelas plastik yang digunakan ke dalam besen besar yang disediakan di suatu sudut kantin, mereka meninggalkan kantin. Bengkak pada bahagian buku lali itu menyebabkan Adiwati tidak dapat berjalan pantas seperti biasa. Sesekali dahinya berkerut menahan sakit. Ubat penahan sakit yang dibekalkan oleh doktor yang merawatnya tempoh hari hari hanya berkesan untuk suatu tempoh yang tertentu sahaja. Mujurlah kelasnya terletak di aras satu blok setinggi tiga tingkat itu. Jika tidak, keadaannya pasti akan bertambah sulit lagi.
            Syaza yang berjalan beriringan dengannya sentiasa mengawasi pergerakannya. Baharu sahaja Adiwati menginjakkan kakinya pada anak tangga pertama bangunan itu, seorang guru wanita yang bertubuh agak gempal memanggil namanya. Langkah Adiwati dan Syaza mati serentak. Mereka menoleh ke belakang.
            “Saya baharu saja menyuruh seorang pelajar mencari kamu, Adiwati,” ujar Cikgu Latifah seraya membetulkan cermin matanya yang agak senget kerana dia agak terkocoh-kocoh keluar dari pejabat sebaik sahaja melihat kelibat Adiwati melalui biliknya yang terletak di aras bawah blok itu – bilik Kelab Majalah Sekolah.
            “Masuklah ke dalam bilik saya dahulu. Ada perkara  penting yang saya ingin bincangkan dengan kamu. Kamu Syaza, boleh ikut sekali,” ajak Cikgu Latifah sambil tersenyum.
            Sebaik sahaja Adiwati dan Syaza masuk ke dalam bilik itu, Cikgu Latifah mempersilakan mereka duduk. Berkali-kali Cikgu Latifah meminta maaf disebabkan keadaan bilik itu yang agak bersepah dengan pelbagai kertas, gambar, alat tulis di atas mejanya.
            “Tak sempat nak kemas. Belakangan ini, banyak kerja yang perlu dibereskan. Saya agak kelam-kabut sedikit.”
            “Tidak mengapalah, cikgu. Kami faham,” balas Adiwati sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di sebuah bangku kayu yang terletak di dalam bilik itu.
            “Saya bersimpati dengan kamu, Adiwati. Tetapi saya percaya, kamu akan dapat menempuhinya dengan sabar. Ini ujian buat kamu,” kata Cikgu Latifah, guru penasihat Kelab Majalah Sekolah. Tangannya pantas mengemas kertas-kertas dan alat tulis yang bersepah di atas meja itu dan diletakkan di sebuah rak yang terletak di penjuru bilik itu.
            Selepas permukaan meja itu meja itu menjadi agak lapang, baharulah Cikgu Latifah duduk di hadapan Adiwati dan Syaza.
            “Begini, Adiwati. Kamu tentu sudah maklum bahawa Farid yang menjadi editor majalah sekolah ini telah berpindah ke sekolah baharu di utara tanah air kerana mengikut bapanya yang bertugas sebagai anggota polis. Jadi, setelah berbincang dengan beberapa orang guru dan guru kanan di sekolah ini, kami bersependapat untuk melantik kamu mengisi kekosongan jawatan ini. Bagaimana?”
            Berderau perasaan Adiwati sebaik sahaja mendengar tawaran daripada Cikgu Latifah. Dia memandang Syaza – mereka saling berpandangan.
            “Tapi, cikgu…” Adiwati cuba meluahkan apa yang mula bersarang di dalam hatinya. Tanggungjawab yang bakal dipikul seandainya menerima tawaran itu amat berat. Dia bimbang jika tidak mampu untuk menggalasnya.
            “Adiwati, ini soal peluang dan kepercayaan,” pintas Cikgu Latifah. Selepas membuat penilaian yang sewajarnya, saya dan guru-guru lain amat berkeyakinan bahawa kamulah yang paling layak mendukung tugas ini.”
            Adiwati bungkam. Lidahnya menjadi kelu tiba-tiba. Dia memikirkan kata-kata Cikgu Latifah. Peluang dan kepercayaan; peluang tidak selalunya datang dan kepercayaan pula sesuatu yang amat sukar untuk dikembalikan kepada yang memberikannya.
            “Beginilah, Adiwati. Mungkin kamu tidak akan dapat memberikan jawapannya sekarang. Saya berikan tempoh beberapa hari untuk kamu memikirkannya,” kata Cikgu Latifah setelah melihat belum ada tanda-tanda Adiwati akan memberikan reaksinya.
            Hanya ada dua perkataan; menolak atau menerima. Dan, kedua-dua perkataan itu terus mengasak ruang fikirnya bertalu-talu. Dia tidak boleh terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan. Kesilapan dalam membuat keputusan hanya akan mengundang kerancuan dan mengganggu emosi dirinya.
            Adiwati cuba membuang peperangan perasaan yang meletus dalam dirinya itu semasa berada di dalam kelas. Tumpuannya harus fokus kepada pengajaran Cikgu Ng Ah Kau, guru mata pelajaran Geografi. Guru yang bertubuh kurus dan tinggi lampai serta berkaca mata itu paling tidak gemar jika ada anak didiknya khayal semasa dia mengajar.
            Ternyata Adiwati tersentak apabila secara tiba-tiba Cikgu Ng Ah Kau melontarkan pertanyaan kepadanya tentang topik yang diajarkannya. Adiwati bangun – terpisat-pisat. Pertanyaan Cikgu Ng Ah Kau tidak singgah di telinganya langsung. Adiwati hanya tunduk dan amat menyedari kekhilafan dirinya.
            “Maafkan saya, cikgu. Saya tidak dapat menjawab soalan yang cikgu kemukakan. Saya berjanji tidak akan mengulanginya lagi, cikgu.” Tanpa disuruh, Adiwati bersuara. Polos nadanya.
            Dia amat bernasib baik apabila Cikgu Ng Ah Kau yang berdiri sambil bercekak pinggang di hadapan tidak memarahinya seperti lazimnya. “Adiwati, saya tahu kamu berada dalam keadaan tertekan sekarang. Mungkin sebab kecederaan yang kamu alami atau ada sebab-sebab lain yang saya tidak tahu. Sebelum ini kamu sentiasa fokus dan dapat menjawab soalan-soalan yang saya ajukan dengan baik. Saya akan harap kamu akan memberikan tumpuan selepas ini. Kamu boleh duduk.”
            “Terima kasih, cikgu,” jawab Adiwati seraya duduk. Dia perasaan, ada beberapa pasang mata di dalam kelas itu sedang memerhatikan dirinya. Malah, ada yang tersenyum sinis.
            Biarlah, bisik Adiwati.

* * * *

Usai solat zohor, Adiwati meletakkan sejadah dan telekung yang telah dilipatnya di sidaian kain yang terletak di sebelah kepala katilnya. Syaza, sehabis sahaja kelas tadi terus lena tanpa menanggalkan pakaian sekolah. Barangkali dia terlalu mengantuk kerana tidur agak lewat malam tadi – menyiapkan latihan Matematik Tambahan. Dia tidak mahu mengganggu tidur Syaza. Sementelah, rakan sekamarnya itu memang tidak boleh bersolat.
            Bengkak pada buku lali kakinya sudah mula menyurut. Dia masih berharap agar buku lalinya yang terseliuh itu dapat sembuh sebelum temasya sukan tahunan sekolahnya bermula. Jika mengikutkan kata hatinya, mahu sahaja dia turun ke padang petang nanti. Walaupun tidak dapat berlatih, sekurang-kurangnya dia dapat memberikan sokongan moral kepada rakan-rakan sepasukannya.
            Entah. Secara tiba-tiba keinginannya untuk beraksi dalam kejohanan itu begitu meluap-luap, apatah lagi apabila teringat akan peristiwa di kantin pada pagi tadi. Dia tidak pernah diajari ayahnya supaya mengalah dan berputus asa. Kata ayahnya, selalu mengalah dan berputus asa itu adalah ciri-ciri orang yang akan gagal menggapai impiannya.
            Aku tidak boleh mengalah! Aku mesti kuat! Tekadnya sambil menggenggamkan jari-jari tangannya seperti hendak menumbuk sesuatu.
            Tiba-tiba pintu biliknya diketuk lembut beberapa kali dan diikuti suara orang memberi ucapan salam. Dia dapat mengecam suara itu. Segera dia bingkas dari birai katil dan berjalan terjengket-jengket untuk membuka pintu biliknya.
            Sebaik sahaja pintu terkuak, Cikgu Nabiha sudah terpacak di muka pintu sambil tersenyum memandangnya.
            “Masuklah, cikgu. Maaf kalau bilik kami tak berapa kemas. Nak saya kejutkan Syaza?” ujar Adiwati mempelawa Cikgu Nabiha.
            “Tak mengapalah. Biarlah Syaza tidur. Saya tidak mahu mengganggu dia,” balas Cikgu Nabiha.
            Adiwati mengambil sebuah bangku plastik yang lazimnya digunakan untuk duduk semasa mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan kerja-kerja sekolahnya. Dia mempersilakan Cikgu Nabiha duduk.
            “Bagaimanakah keadaan kaki kamu?” tanya Cikgu Nabiha.
            “Alhamdulillah. Sudah bertambah pulih, cikgu,”  jawab Adiwati. Wajahnya agak ceria.
            “Boleh saya tengok?”
            Adiwati angguk dan sederam itu dia menghulurkan kakinya. Cikgu Nabiha membelek-belek buku lali Adiwati; bengkaknya sudah semakin menyusut. Dia berpuas hati.
            “Kalau begini, dalam seminggu lagi kamu sudah boleh turun berlatih, Wati,” ujar Cikgu Nabiha.
            “Harap-harap begitulah, cikgu. Terima kasih kerana sudi membantu saya,” balas Adiwati. “Duit kasut tu nanti saya akan jelaskan selepas saya keluarkan duit dari bank.”
            Cikgu Nabiha tersenyum lalu menepuk bahu Adiwati. “Saya datang ke bilik kamu ni bukan mahu mengutip hutang. Saya cuma mahu melihat keadaan kamu.”
            Cikgu Nabiha sedar, sekolah ini mempunyai peraturan yang agak ketat untuk pelajar-pelajar yang tinggal di asrama. Mereka hanya dibenarkan keluar dua minggu sekali sahaja mengikut masa yang ditetapkan. Oleh sebab itu, pemilihan pelajar-pelajar yang layak untuk tinggal di asrama melalui proses saringan yang ketat.
            “Saya dengar kamu terpilih sebagai editor majalah sekolah. Betulkah?” Tanya Cikgu Nabiha. Dia sekadar inginkan kepastian. Dia mendengar berita itu semasa berada di bilik guru; beberapa orang guru sedang membicarakan hal itu.
            Adiwati menggangguk. “Itulah yang sedang saya fikirkan, cikgu. Sama ada mahu menerima atau menolak tawaran itu.” Dia melepaskan keluhan yang agak berat.
            “Saya percaya bahawa pemilihan kamu adalah berdasarkan bakat dan potensi, Wati. Saya sering membaca artikel-artikel yang kamu sumbangkan majalah itu sebelum ini. Tidak semua pelajar mempunyai daya berfikir seperti kamu. Malah, artikel yang kamu tulis lazimnya keluar daripada kepompong pemikiran seorang pelajar. Itulah keistimewaan kamu,” ujar Cikgu Nabiha. Dia sememangnya meyakini kebolehan dan bakat yang dimiliki oleh Adiwati. Dan, siapa sangka seorang pelajar yang membesar di sebuah kawasan pedalaman mempunyai pemikiran yang matang dan pengetahuan yang luas.
            “Cikgu terlalu memuji saya pula,” kata Adiwati; agak tersipu-sipu mendengar kata-kata Cikgu Nabiha. “Pendapat cikgu, bagaimana?”
            “Sebaik-baiknya, kamu terima sahajalah tawaran itu. Tambahan pula, tahun ini merupakan tahun terakhir kamu di sekolah ini. Sekurang-kurangnya, pengalaman yang kamu peroleh nanti mungkin berguna untuk masa depan,” jawab Cikgu Nabiha. “Yang perlu kamu lakukan sekarang adalah kebijaksanaan menguruskan masa.”
            Adiwati segera faham. Itulah kebimbangan sebenar yang menggeluti fikirannya sebaik-baik sahaja ditawarkan jawatan itu oleh Cikgu Latifah. Apatah lagi tahun ini dia bakal menduduki peperiksaan SPM; dia mesti lulus dengan cemerlang untuk mengejar cita-citanya. Bakat pula merupakan anugerah daripada Yang Maha Esa – tidak akan disia-siakannya. Mungkin itulah yang diwarisi daripada darah ibunya.
            Dan, tiba-tiba hatinya menjadi sebak apabila terkenang akan ibunya. Dia tidak akan melupakan peristiwa itu. Sungguh! Dia tidak akan melupakannya sampai bila-bila.
            Cikgu Nabiha telah agak lama meninggalkan biliknya. Syaza yang baharu tersedar dari alam lenanya masih bergolek-golek di atas ranjangnya; seolah-olah belum puas tidurnya. Dia kaget apabila Adiwati memberitahunya tentang kedatangan Cikgu Nabiha.
            “Kenapa tak kejut aku?” ujar Syaza. Bingkas dari pembaringannya lalu menyandarkan tubuhnya pada kepala katil.
            “Cikgu Nabiha kata tak payah ganggu tidur kau. Agaknya dia tahu engkau keletihan,” balas Adiwati. Dia mengeluarkan sepasang pakaian sukan dari almari pakaiannya. Tindakannya itu tentu sahaja mengundang perhatian Syaza.
            “Kau mahu turun ke padang?” tanya Syaza.
            Adiwati mengangguk. “Kau mahu ikut?”
            “Kaki kau?”
            Adiwati senyum. Dia memilih baju T sukan sekolah berwarna biru muda; baju yang berlengan panjang. “Jangan bimbang. Aku tidak akan berlari petang ini. Sekadar melihat teman-teman sepasukan berlatih,” jelas Adiwati.
            “Bagus juga cadangan kau tu, Wati. Sekurang-kurangnya, tidaklah kita terperap di dalam bilik ni. Beku otak jadinya.” Syaza menyatakan persetujuannya.
            “Tunggu apa lagi? Dah pukul 4.30 petang ni. Pergilah mandi. Aku mahu bersolat asar dulu,” gesa Adiwati apabila melihat Syaza masih lagi bermalas-malas di atas katilnya.
            Ketika sampai di padang, sudah ramai pelajar berada di situ. Lokasi mereka dibahagikan mengikut aktiviti yang dijalankan. Adiwati dan Syaza yang menganggotai pasukan Rumah Temenggung berjalan beriringan menuju ke bahagian hujung padang untuk melihat rakan-rakan mereka berlatih lompat jauh.
            Ternyata kehadiran Adiwati menarik perhatian rakan-rakan sepasukannya. Mereka segera mengerumuni Adiwati untuk melihat sendiri keadaan Adiwati. Cikgu Faridah, Cikgu Mazlina dan Cikgu Saidi yang bertugas pada petang itu turut menghampirinya.
            “Kamu mahu turun berlatihkah, Adiwati?” Cikgu Saidi yang memakai topi besar yang lazimnya dipakai oleh pekebun-pekebun sayur. Walaupun sudah hampir pukul 5.00 petang, cahaya matahari yang memancar masih terik – membakar kulit.
            Adiwati tersenyum dan menggeleng. “Belum boleh lagi, Cikgu Saidi. Mungkin seminggu dua lagi. Kalau dah sembuh nanti, insya-Allah saya akan berlatih seperti biasa.”
            Walaupun ada riak kehampaan yang terpapar pada raut wajah Cikgu Saidi, tetapi dia segera memahami keadaan anak didiknya itu. “Tidak mengapalah, Adiwati. Sekurang-kurangnya, kedatangan kamu pada petang ini akan membakar semangat peserta-peserta rumah Temenggung.”
            Ketiadaan Adiwati beberapa hari yang lalu semasa latihan memang sangat dirasai. Sebelum ini, Adiwatilah yang banyak membantu guru-guru rumah Temenggung semasa sesi latihan kerana dia merupakan setiausaha rumah sukan itu. Ada kalanya, dialah yang bertindak memberikan tunjuk ajar kepada ahli-ahli perempuan rumah sukan itu tentang teknik larian dan lompatan yang betul. Dalam acara sukantara nanti, acara yang bakal dipertandingkan ialah lumba lari 100m, 200m, lontar peluru, ejam lembing dan lompat jauh. Semua pelajar wajib menyertainya.
            Syaza pula, walaupun telah mendapat pengesahan daripada doktor agar tidak melakukan aktiviti sukan kerana masalah asma tetap mengikuti perkembangan pasukan rumahnya. Minatnya dalam bidang sukan tetap ada, cuma dibatasi masalah kesihatan. Oleh sebab itu, dia lebih tertumpu kepada bidang ko-akademik seperti teater dan permainan dalaman seperti catur.
            Mereka duduk di bawah sepohon pokok yang rendang yang ditanam berhampiran pagar sekolah setelah bertemu dengan rakan-rakannya. Adiwati sempat memberikan galakan agar rakan-rakannya berusaha dengan lebih gigih untuk mengekalkan johan keseluruhan rumah sukan dalam temasya sukan itu nanti.
            Jika ditakdirkan kakinya tidak sembuh juga menjelang temasya sukan itu nanti, Adiwati pasrah. Sebagai manusia, dia hanya mampu berusaha dan membuat rencana, namun Allah jugalah penentu yang paling mutlak. Dia reda.
            “Kalau ditakdirkan kaki ini tidak sembuh, aku pasrah, Syaza. Kita mesti percaya akan qada dan qadar Allah. Nasib tidak akan sentiasa menyebelahi kita,” ujar Adiwati. Pandangannya masih tertebar ke arah padang. “Mungkin ini peluang untuknya...”
            “Siapa? Adlina?” Syaza memandang tepat wajah Adiwati sambil membetulkan cermin matanya.
            Adiwati hanya mematikan dirinya.
            “Kalau aku dapat berlari seperti engkau, percayalah, aku tidak akan memberikan ruang kepada Adlina!” kata Syaza; geram.
            “Janganlah marah sangat,” usik Adiwati apabila melihat Syaza kelihatan agak emosional.
            “Marah tu tidaklah, Wati. Tapi dia tu kalau menang sesuatu pertandingan, riuhnya mengalahkan ayam betina hendak bertelur!” balas Syaza. Sederam itu, ketaw mereka berderai.
            Dan, dari arah satu sudut padang yang lain, kelihatan sepasang mata sedang memerhatikannya; pandangan yang penuh dengan kebencian dan keegoan!